Watak Zul Ariffin dalam filem seram komedi, Don Dukun berjaya menambat hati penonton sehinggakan kutipan untuk tempoh tiga hari tayangan sudah pun mencecah RM2.1 juta.
Walaupun baru sahaja ditayangkan di pawagam, pengarah filem berkenaan, Waan Hafiz berkata pihaknya sudah pun menerima permintaan untuk menghasilkan Don Dukun 2.
Kata Waan Hafiz, Don Dukun 2 hanya akan diputuskan selepas melihat keuntungan akhir kutipan.
Buat masa ini katanya, dia menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta untuk naskhah tersebut.
“Memang saya lega dan gembira melihat maklum balas rakyat Malaysia yang menerima baik filem itu.
“Semoga ramai lagi terus beri peluang untuk menyokong dan menontonnya di pawagam,” katanya.
Biarpun dia pada awalnya bimbang dengan penerimaan penonton kerana para pelakon bukanlah pelawak, namun dia bersyukur apabila ramai menyukai filem seperti itu.
“Komedi yang ditampilkan bukan seperti kebiasaan. Pelakon pun rata-ratanya bukan pelawak kecuali Ropie dan Douglas Lim. Mujur semua mereka sangat berseronok dan pamerkan lakonan hebat.
“Risau juga kerana lawak yang ditampilkan disangka lebih kepada elemen ‘orang putih’. Sebenarnya tidak dan memang lawak seharian tempatan yang kita tampilkan. Syukur ia berjaya memikat ramai,” katanya.
Waan juga enggan terlalu bangga dengan kutipan terkini memandangkan ada penayangan filem lain seperti Death Whisperer 2 dari Thailand.
Baca juga: Baru tahu ada cara simpan kuetiau dan mi kuning agar tahan lama, dijamin tak hancur ketika digoreng