Laluan KK-Bintulu, KK-Sibu saksi kenaikan 165 peratus trafik penumpang minggguan

Laluan KK-Bintulu, KK-Sibu saksi kenaikan 165 peratus trafik penumpang minggguan

Sektor Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu, yang akan dikendalikan AirAsia mulai 1 Januari 2019 akan menyaksikan kenaikan 165 peratus jumlah penumpang seminggu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, perkhidmatan penerbangan antara kedua-dua sektor itu, yang dikeluarkan daripada Perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) baru-baru ini, akan disambung semula dengan 14 penerbangan mingguan dengan pesawat AirAsia Airbus A320 yang boleh membawa 2,520 penumpang.

Sebelum ini, MASwings menggunakan pesawat ATR propeller yang boleh membawa 920 penumpang seminggu, kata Loke sambil menambah bahawa penumpang boleh membeli tiket mereka ke Bintulu dan Sibu di mana-mana kaunter tiket AirAsia atau dalam talian mulai hari ini.

“Pada November, kerajaan telah mengeluarkan kedua-dua laluan daripada perjanjian RAS. Kabinet kemudiannya meluluskan operasi penerbangan komersil AirAsia Group Bhd untuk kedua-dua laluan terbabit berikutan permintaan yang tinggi.

“Ini kerana AirAsia mempunyai penerbangan yang lebih besar untuk beroperasi. Mereka merasakan keupayaan MASwings terlalu rendah dan tidak dapat membawa lebih ramai penumpang. Kerajaan telah melakukan kajian mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Pertemuan Majlis Penerbangan Malaysia pertama di sini hari ini.

Loke berkata MASwings, yang sebelum ini mengendalikan lapan laluan di bawah rangka kerja RAS, akan hentikan operasinya mulai 1 Januari 2019.

Penumpang yang telah menempah untuk penerbangan laluan terbabit akan dikembalikan bayaran tiketnya mulai hari ini, katanya.

“Kami telah mengadakan perjanjian dengan AirAsia untuk mengendalikan kedua-dua laluan ini, mereka tidak akan dapat menarik diri daripada perjanjian ini. Jika mereka melakukannya, mereka perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan.

“Di bawah perjanjian RAS, apa-apa kerugian operasi akan diberi subsidi oleh kerajaan, tetapi di bawah perjanjian penerbangan komersil, tidak ada subsidi dan pengendali penerbangan mesti menanggung kerugian tersebut,” katanya.

— BERNAMA