Malaysia Dateline

Laluan sukar PRK Tanjung Piai disebabkan faktor pengundi, kata Mat Sabu

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan melalui laluan sukar kerana dijangkakan tidak ramai pengundi akan pulang, kerana ia dianggap tidak akan mengubah kerajaan yang memerintah.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, faktor pengundi luar negara akan menyukarkan calon parti yang bertanding.

“Selalunya PRK memang kita sukar untuk mencapai kemenangan. Terutama sekali pengundi-pengundi luar, sama ada bekerja di Singapura, Australia dan tempat-tempat lain.

“Banyak yang tidak pulang sebab mereka menganggap siapa pun yang akan menang tidak dapat mengubah kerajaan.

“Tapi kalau PRU, mereka sanggup berbelanja sendiri untuk pulang, walaupun mereka habis lima atau enam ribu Ringgit,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media bersama Kementerian Pertahanan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH memberikan contoh pada keputusan PRK Teluk Intan pada 2014, yang menyaksikan pembangkang tewas kepada BN walaupun kerusi tersebut merupakan kubu kuat DAP.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu kerana komplikasi jantung.

Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi pada 16 November dan hari  penamaan calon pada 2 November depan.

Mohamad yang juga TImbalan Presiden PH berkata setakat hari ini mesyuarat bagi menentukan calon kerusi Tanjung Piai  belum diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.