Malaysia Dateline

Sulaiman Ibrahim meninjau kawasan jambatan yang runtuh di Kampung Kerawai Jeneri Sik

Laluan utama terjejas, penduduk Sik tanya mana wakil rakyat

Sulaiman Ibrahim meninjau kawasan jambatan yang runtuh di Kampung Kerawai Jeneri Sik.

“Kalau setakat hendak turun padang bila dekat dengan pilihan raya saja, lebih baik tak payah jadi wakil rakyat”

Inilah kata-kata kecewa yang diluahkan oleh beberapa penduduk Kampung Kerawai, Jeneri, Sik, Kedah setelah jambatan yang menjadi laluan utama mereka runtuh sejak lebih enam bulan yang lalu.

Menurut mereka lagi, pelbagai aduan telah pun dibuat termasuk kepada wakil rakyat BN yang mewakili Dun Jeneri dan Parlimen Sik.

Namun begitu, sehingga kini tidak ada apa-apa perkembangan sehingga menjejaskan pergerakan penduduk kampung tersebut.

Azizan Husin

Bagi Azizan Husin, ketiadaan jambatan tersebut menyukarkan penduduk kerana terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh untuk keluar masuk kampung tersebut.

“Laluan ini digunakan oleh para pelajar dan penduduk kampung untuk berulang alik ke sekolah setiap hari.

“Kami juga menggunakan jambatan ini untuk ke kebun dan dusun yang begitu banyak dalam kampung ini.

“Kini kami terpaksa menghabiskan masa yang panjang dengan menggunakan laluan yang lebih jauh kerana jambatan yang runtuh sejak lebih enam bulan lalu tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” jelasnya kesal.

Sementara itu, Mohd Hanapiah Wahab pula berkata, pelbagai aduan telah pun dibuat termasuk memaklumkan perkara tersebut kepada jawatankuasa kemajuan kampung (JKKK), namun begitu tiada apa-apa perubahan hingga kini.

“Kami dah buat aduan kepada pejabat wakil rakyat termasuk Adun Umno yang mewakili Dun Jeneri. Mohd Hanapiah Wahab

“Bantuan dari pejabat Ahli Parlimen Sik yang diwakili BN pun kami dah maklum begitu lama.

“Tapi hingga ke hari ini aduan kami setakat aduan semata-mata, tidak ada tindakan segera dari mereka,” ujarnya lagi.

Manakala seorang lagi penduduk yang sering berulang alik menggunakan jambatan tersebut kecewa dengan sikap wakil rakyat yang mewakili mereka.

“Kalau nak buat jambatan ini kami penduduk kampung tak mampu kerana menelan kos yang banyak.

Mohd Shaidi Alis

“Sepatutnya sebagai kerajaan negeri yang memerintah negeri Kedah, mereka sedia maklum mengenai aduan yang telah kami salurkan melalui pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah dan Tanah.

“Tapi kenapa mereka tidak segera membina jambatan tersebut, sedangkan ia menjadi keperluan yang amat mendesak penduduk kampung,” tegasnya.

Beliau juga berkata, janganlah apabila sudah ada yang terjatuh atau menjadi mangsa kecelakaan barulah hendak diberi perhatian.

Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim yang meninjau kawasan tersebut menzahirkan kekesalan yang teramat sangat terhadap kegagalan wakil rakyat Umno dan BN yang mewakili kawasan tersebut.

“Jambatan yang runtuh dan terputus ini adalah kerana dibawa air yang deras.

“Ia adalah dibawah tanggungjawab peruntukan Majlis Daerah, Adun dan Ahli Parlimen Sik yang diterajui oleh Umno dan BN.

“Aduan yang telah dibuat oleh penduduk begitu lama sehingga menimbulkan kesukaran yang teramat sangat kepada penduduk untuk menjalankan rutin harian serta menghantar anak-anak ke sekolah dengan menggunakan laluan yang begitu jauh sekali, ” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak berwajib yang memegang wang rakyat seharusnya membina jambatan tersebut dengan segera kerana ia adaah di bawah dana bencana alam kawasan.

“Mereka mempunyai peruntukan khas dan dana untuk digunakan bagi kepentingan penduduk yang diwakili.

“Ini menyerlahkan lagi ketidakpekaan pihak yang berwajib termasuk Adun dan Ahli Parlimen Sik dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka dengan baik.

“Sekiranya perkara ini pun sukar bagi wakil rakyat yang telah diberi mandat untuk menyelesaikan masalah penduduk yang amat mengharapkan dokongan mereka, apa lagi yang boleh diharapkan sekiranya mandat diberi sekali lagi kepada mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang,” luah beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, memberi mandat kepada Umno-BN dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak akan membawa apa-apa pembaharuan, kecuali menyulitkan lagi penduduk yang amat memerlukan sokongan.

Oleh itu pengundi dalam kawasan Parlimen Sik khususnya dan rakyat negeri Kedah amnya mesti menolak Umno-BN serta sekutunya daripada terus mengkhianati amanah mereka terhadap rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14.