Lama menghilang, terkejut tahu bekas pemain Harimau Malaya ini kini jual pisang goreng tepi jalan

Oleh KIM SYAZIE

Setelah lama tidak mendengar perkembangan bekas pemain Harimau Malaya ini, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari dikatakan sedang aktif berniaga dan menceburi perniagaan pisang goreng.

Walaupun mungkin ramai yang tidak mengenali sosok ini, Hisyamudin sebenarnya pernah bermain untuk kelab KL Rovers.

Bekas pemain Harimau Malaya itu tidak menyangka berjaya meraih jualan sebanyak RM100,000 sebulan secara keseluruhan termasuk kepada pemborong buah yang terdapat di Lembah Klang.

Dia kini mampu membekal pisang abu nipah menerusi syarikatnya, Sahabat Pisang Venture (Sahabat Pisang) sebanyak 10 tan kepada 200 cawangan Goreng Pisang Crispy (GPC) setiap minggu dengan nilai eksport RM500,000. 

“Saya memilih bisnes pisang kerana sedar permintaan yang cukup tinggi daripada pemborong dan peniaga kerana masyarakat gemar membeli sama ada untuk dimakan sahaja atau dibuat goreng.

“Selepas tiga bulan beroperasi secara serius, Sahabat Pisang telah membuka cawangan kedua di Seremban dan bakal mengembangkan pasaran ke Terengganu.

“Selain membekal pisang untuk cawangan GPC, saya juga membuka cawangan itu secara francais agar seiring dalam perniagaan dan dalam perancangan untuk membuka lima lagi cawangan GPC pada tahun ini,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mohamad Hisyamudin yang kini berusia 37 memiliki satu cap bersama Harimau Malaya yang ketika itu di bawah kendalian jurulatih Datuk K. Rajagopal.

Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu adalah seangkatan dengan pemain seperti Safiq Rahim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha.

Kali terakhir dia beraksi secara kompetitif adalah pada tahun 2022 apabila membantu KL Rovers muncul naib juara Liga M3. 

Namun sepanjang tahun lalu, dia hanya aktif sebagai jurulatih sambilan di akademi bola sepak selain menerima jemputan beberapa kelab dalam perlawanan tertentu sebelum menceburi bisnes pisang sejak Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Hisyamudin mengakui pendapatan pemain bola sepak memang lumayan namun jangka hayatnya agak singkat dan dia harus bijak dalam menguruskan kewangan.

Malah dia mengambil keputusan ‘bersara’ dengan membina jenama Sahabat Pisang walaupun berdepan rasa malu di awal berniaga di gerai buahnya itu.

Namun dia kini mahu mengajak rakan bekas pemain yang lain untuk turut sama meneroka dunia perniagaan sepertinya demi kelangsungan hidup bersama.

Mohamad Hisyamudin menceburi bisnes membekal pisang abu nipah secara serius sejak tiga bulan lalu.

Baca juga: Perunding kewangan kongsi 5 cara bijak guna Akaun 3 KWSP, syaratnya jangan ikut kehendak!