Keadaan kesihatan penyanyi terkenal era 1980-an, Ibnor Riza nampaknya semakin memburuk semenjak disahkan menghidap kanser limfoma.
Malah, sel kanser yang wujud di dalam tubuhnya juga tidak mati meskipun sudah menjalani sesi kimoterapi sebanyak enam kali di hospital kerajaan.
Oleh yang demikian, Ibnor terpaksa mencuba alternatif lain untuk mengubati kanser tahap empat itu dengan mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Namun, untuk menjalani dua sesi kimoterapi di pusat perubatan kanser swasta, Ibnor perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM30,000 sebagai kos rawatan.
Sedangkan, pelantun lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu sudah tidak bekerja selama sembilan bulan setelah disahkan menghidap kanser, lapor Mstar.
“Sel kanser masih ada dan saya perlu mengambil langkah alternatif dengan membuat dua sesi kimoterapi di hospital swasta yang menelan belanja RM30,000.
“Jika sel kanser masih tidak dapat dihapuskan maka saya perlu teruskan empat sesi kimoterapi dengan kos RM80,000.
“Saya berusaha untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta ini kerana ubat untuk menyembuhkan penyakit saya tidak ada subsidi di hospital kerajaan,” katanya.
Penyanyi berusia 62 tahun itu juga perlu melakukan pembedahan pemindahan tulang sum sum jika rawatan kimoterapi tersebut gagal mematikan sel kanser.
Sehubungan dengan itu, para rakan artis bakal mengadakan persembahan amal Malam Untukmu Ibnor untuk mengumpul dana bagi menampung kos rawatannya.
Dianjurkan pada 30 Ogos ini, antara rakan artis yang terlibat adalah Datuk Siti Fairuz, Jay jay, Nizam Laksamana dan juga Sophia Ibrahim.
Terdahulu, Ibnor dilaporkan diserang penyakit kencing manis, kolestrol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk secara tiba-tiba pada 19 Februari lalu.
Kanser limfoma kemudian berjaya dikesan setelah satu pemeriksaan susulan dilakukan doktor selepas Ibnor mengalami bengkak di leher.