Malaysia Dateline

Laman FB parti Bersatu ‘ghaib’ selepas didakwa fitnah aktivis wakili Rohingya

Hantaran fitnah dipadam dari media yang difahamkan berkaitan parti Bersatu.

Laman Facebook (FB) Bersatutv yang dipercayai ada kaitan dengan ahli PPBM ‘ghaib’ selepas dituntut untuk memohon maaf atas fitnah terhadap Duta Malaysia Majlis Rohingya Eropah (ERC), Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi.

Laman yang mempunyai jumlah “likes” lebih 100,000 orang itu menyebarkan gambar aktivis itu dengan menulis, “Bangsa Rohingya dikecam netizen: Rakyat Malaysia Tak Paham Undang-Undang AntaraBangsa” pada 25 April lalu.

Sebelum itu, pemilik akaun FB, Web Schneider dan laman kumpulan 32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya juga hilang dari media sosial itu sama sudah dipadam atau dinyahaktif.

Page Bersatutv juga sudah hilang dari Facebook. Ke mana mereka nak lari? Laporan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) telah dibuat.

“Ammar Daniel dan Bersatu.TV pula masih berdegil menyiarkan posting jahat tentang The European Rohingya Council (ERC),” tegasnya.

Tengku Emma berkata, proses undang-undang akan diambil jika pengendali FB terbabit gagal melakukan permohonan maaf secara terbuka dan menderma kepada ERC mengikut bilangan pengikut di akaun FB masing-masing.

Beliau berkata, mereka tidak akan dibiarkan lepas begitu sahaja sesuai dengan undang-undang yang dimiliki negara ini kerana sebarang pandangan dan komentar di media sosial perlu bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berharap semua akan berakhir dengan baik bagi membersihkan namanya dan ERC iaitu sebuah pertubuhan berpangkalan di London.

Terdahulu, Bersatutv telah memadamkan fitnah tersebut tanpa melunaskan sebarang derma seperti dikehendaki ERC kelmarin.

Mengulas tindakan pengendali laman FB itu, Tengku Emma berkata, derma sebanyak RM104,000 menurut jumlah pengikut Bersatutv tetap mesti dilunaskan.

“Sila hubungi saya di [email protected] untuk sebarang perbincangan dan rundingan. Ini harus dijadikan pengajaran kepada orang lain agar fitnah dan posting berniat jahat tidak disebarkan sesuka hati,” tegasnya.

Kelmarin, Bersatutv, Ammar Daniel dan Bersatu.TV antara pemilik akaun FB yang dituntut memohon maaf secara terbuka dengan memuatnaik di laman media sosial masing-masing dan secara bersurat untuk siaran di laman web ERC.

Di samping itu, mereka terbabit perlu mengemukakan sumbangan dalam bentuk wang tunai kepada ERC mengikut jumlah pengikut masing-masing.

Dalam masa sama, Tengku Emma Zuriana memberitahu beberapa pemilik akaun FB yang sebelum ini menulis komentar berbaur jenayah termasuk mahu ‘rogol laju-laju’ turut didapati membekukan akaun.

Antaranya daripada pemilik FB, Suhaimi Ismail yang menulis komen, “dapat kat kitorang kami rogol je…ni pesanan ikhlas.”

Mereka terlibat dikenal pasti hasil maklumat pengguna FB lain yang bersimpati dengan Tengku Emma.

Beliau dalam masa sama juga kecewa apabila ada wanita turut terheret menyerangnya dengan turut mendedahkan data peribadinya termasuk status Bantuan Prihatin Nasional dalam pakej rangsangan ekonomi kerajaan.

“Saya pun tidak faham apa yang berlegar di fikiran dia,” katanya merujuk kepada pengguna FB atas nama Siti Mariah.

Sebahagian komentar bersifat menyerang peribadi dan mengancam keselamatan beliau dilihat muncul dalam laman FB seperti Jabatan Netizen Negara Malaysia (Official).

Mengulas kecaman yang turut mengaitkan sifat fizikalnya, beliau menganggap hal itu bukti budaya popular ‘tentera bawang’ tidak ubah ‘tentera fitnah’ kerana cenderung memudaratkan masyarakat.

“Difitnah sebagai Rohingya ini, saya sudah biasa dengar. Sejak awal pembabitan dalam aktivisme Rohingya lagi,” ujarnya yang terlibat dalam kerja kesukarelawanan dan hak asasi sejak tahun 2012.

Tengku Emma Zuriana anggap sudah lali dengan kecaman sebahagian masyarakat tetapi tidak dapat menerima reaksi melampau melibatkan keselamatan nyawa.