Laman FB ugut salai Ahli Majlis Perbandaran DAP

Laman FB ugut salai Ahli Majlis Perbandaran DAP

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di sini hari ini berhubung posting di laman sosial Facebook anti-DAP mengenai peristiwa 13 Mei.

FB ‘DAP Laknatullah’ semalam memuat naik imej yang mengandungi gambar Edry dengan komennya tentang peristiwa 13 Mei yang menurut Edry berunsur fitnah.

“Apa kata kalau Tragedi 13 Mei berlaku lagi..?? Kali nie cari hawau anjing Democratic Action Party pastu kita lanyak dan salai dia hidup2,” tulisan dari laman itu dipetik.

Sehubungan itu, Edry dalam laporannya menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dalang di sebalik fitnah dan ugutan terbabit dengan kadar segera.

“Saya yakin setiap rakyat Malaysia mahukan kehidupan yang aman dan baik. Budaya politik samseng, fitnah dan intimidasi ganas hanya memburukkan lagi keadaan negara yang sudah sedia tenat,” katanya kepada Roketkini ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Edry sebelum ini menyifatkan filem Tanda Putera yang mengisahkan peristiwa 13 Mei adalah produk propaganda Umno-BN ekoran perspektif berat sebelah yang ditonjolkan filem tersebut.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang berkata, kebebasan untuk berbeza pandangan seharusnya diraikan, bagaimanapun ia tidak seharusnya disalah guna untuk menimbulkan fitnah dan mengancam keselamatan orang lain.

“Perbezaan pandangan dan faham politik adalah unsur-unsur demokrasi yang sihat.

“Yang tidak sihat adalah apabila perbezaan disusuli dengan sikap pelampau sehingga sanggup mencipta fitnah agar pihak yang tidak dipersetujui disakiti dan diancam keselamatannya. Seperti yang dilakukan oleh laman facebook pro-Najib bernama DAP Laknatullah ini,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)