Malaysia Dateline

Laman Umno dakwa PRU segera, serentak dengan PRN Sabah dan Sarawak

Laman pro Umno, Mykmu.net mendakwa, Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat bagi membolehkan pilihan raya umum ke 15 diadakan serentak dengan Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah dan Sarawak yang bakal berlangsung.

Memetik sumber yang tidak dinyatakan, Mykmu memetik laporan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menurut sumber terdekat dengan Umno yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi, ia bagi membolehkan PRU15 di jalankan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan Sarawak, lapor Mykmu.

“Insyallah sekiranya semua berjalan dengan lancar, PM akan mengadap YDP Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan Baginda untuk membubarkan parlimen,” kata laman Umno itu memetik sumber.

KMU atau Kelab Maya Umno membuat dakwaan itu melalui berita yang dilaporkan oleh SuaraTV, satu lagi laman milik Umno.

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021.

Dewan Undangan Negeri Sabah juga telah dibubarkan baru-baru ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan.