Malaysia Dateline

Laman web KKMM sebut ada ijazah dari Amerika tapi Zahidi nafi

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan dia tidak memiliki sebarang ijazah dari mana-mana universiti luar negara.

Penafian Ahli Parlimen Padang Besar itu susulan tular poster profil yang menyatakan dia memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Northen California Global University, Amerika Syarikat (AS).

Ekoran itu, warganet mengecam Zahidi yang sebelum ini mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin tidak menduduki peperiksaan ketika videonya memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet menjadi tular.

Bahkan, Zahidi juga sudah disindir sebagai timbalan menteri “tidak pasti jangan kongsi” yang merupakan slogan kempen Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hanya berkongsi berita yang sahih.

“Berdasarkan khabar angin yang tersebar, Pejabat YB Timbalan Menteri ingin memaklumkan Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak menggunakan sebarang profail Timbalan Menteri yang menggambarkan beliau pemegang ijazah dari mana-mana universiti luar negara.

“Dalam profail Datuk Zahidi yang diedarkan kepada media pada April lalu, pendidikan tertinggi yang tertera ialah Diploma Pengajian Awam, Institut Teknologi Mara (ITM),” tulis pentadbir akaun Facebook Zahidi.

Walau bagaimanapun, laman web KKMM menyertakan maklumat berkaitan kelayakan akademik Zahidi dari AS itu.