Perbicaraan kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menyaksikan Siti Bainun Ahd Razali melambai tangannya beberapa kali ke arah remaja Sindrom Down dikenali Bella.
Serentak itu, pengasas Rumah Bonda berkenaan menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh ketika tiga saksi membuat pengecaman beberapa individu termasuk Bella yang sebelum ini mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Walaupun tidak dapat bersemuka dengan mereka kerana terhadang tirai, Siti Bainun yang didakwa mengabaikan Bella tidak dapat menahan perasaan selepas melihat kelibat remaja itu dan lima individu lain yang berada di bawah jagaannya sebelum ini dibawa masuk ke mahkamah untuk dicam saksi.
Lapor BH, media dan orang awam yang berada di galeri awam juga tidak dibenarkan untuk melihat wajah mereka.
Sesi pengecaman itu dilakukan tiga saksi pendakwaan iaitu Suhana Zam, 40; Zurianty Sudin, 39; dan Yasmin Nahar Mahmood, 19.
Siti Bainun, 30, dilapor sedih dan menangis ketika cuba menyentuh seorang kanak-kanak yang sebelum ini di bawah jagaannya, walaupun terhalang oleh penghadang plastik yang menghalang penularan wabak Covid-19.
Kanak-kanak tersebut yang didukung salah seorang saksi dewasa, turut cuba mencapai tangan Siti Bainun sejurus melihat penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu.
Semua tiga saksi dewasa, tiga saksi kanak-kanak dan tiga saksi remaja termasuk Bella kemudian dicamkan oleh saksi kelapan pendakwaan iaitu pegawai penyelidik firma undang-undang, Suhana Zam dan saksi lain.
Nasib dialami Bella menarik perhatian rakyat Malaysia apabila Siti Bainun berdepan dua pertuduhan di mahkamah iaitu mengabai dan menganiaya remaja OKU itu.
Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Baca juga Aktivis mohon Pengerusi Bernama siar liputan perbicaraan empat hari Bella