Malaysia Dateline

Lambang pun dacing, jangan cakap ini calon PN, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad mengingatkan agar penyokong Pas mengambil iktibar terhadap peristiwa pengkhianatan yang pernah berkaku sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak pada tahun 2008.

Beliau berkata, penyokong Pas tidak seharusnya kembali menyokong Barisan Nasional kerana calon itu bukanlah mewakili Perikatan Nasional (PN).

Hakikatnya kata ahli Parlimen Shah Alam itu, calon yang bertanding ketika ini sedang menggunakan lambang ‘dacing’ iaitu logo parti BN dan bukannya menggunakan lambang gabungan PN.

“Jangan cakap lah ini calon PN, bohong. Lambang pun lambang dacing. Mana ada calon PN.

“Pas bila bersama dengan PN, tenggelam. Calon pun guna lambang BN, parti yang dulu memulakan budaya politik khianat di Perak sekarang mengulanginya dan kita seru ahli Pas bantah dan tolak,” Katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi ramah mesra pimpinan AMANAH bersama media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi; dan Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari.

Kata Khalid lagi, untuk kali keduanya, Pas masih lagi bersama golongan pengkhianat setelah peristiwa kali pertama yang menyaksikan Pas bersama PR menjadi mangsa tindakan lompat di Perak.

Akibatnya pada waktu itu katanya, kerajaan PR hanya mampu memerintah selama 11 bulan.

“Kita menyeru ahli Pas yang masih mengingati pengalaman politik khianat pada tahun 2008 untuk menilai, adakah tindakan yang dilakukan pemimpin politik sekarang yang direstui pimpinan Pas di peringkat pusat adalah wajar.

“Kita tahu Pas tak selesa dengan apa yang berlaku di pentas politik dan hala tuju Pas sekarang ini. Tetapi apa berlaku di Perak, merupakan satu tindakan yang dikutuk Almarhum tok guru Nik Aziz.

“Atas semangat hormat pada Tok guru Nik Aziz, kita menyeru Pas kembali kepada pendirian dan dasar politik berakhlak dan bermaruah dengan menyuarakan bantahan terhadap tindakan politik khianat yang dah dibudayakan sekarang ini,” katanya.