Malaysia Dateline

Lampu 2018 bakal hiasi suasana malam di Putrajaya mulai esok

Festival Light and Motion Putrajaya 2018 (LAMPU 2018) sekali lagi bakal mewarnai kemeriahan suasana malam di Dataran Putrajaya, Presint 3 bermula esok sehingga ambang malam tahun baru 2019.

LAMPU yang telah dianjurkan setiap tahun sejak 2013 merupakan acara tahunan yang dinantikan para pengunjung Putrajaya dengan fasad bangunan utama Istana Kehakiman digunakan sebagai layar mega sepanjang empat malam festival itu.

Bercakap kepada media ketika majlis pratonton LAMPU 2018 Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata PPj selaku penganjur LAMPU, festival pada tahun ini  akan membawakan tema “Warna-Warni Putrajaya”.

Aminuddin berkata setiap segmen persembahan projektor video di fasad bangunan mahkamah berkenaan  adalah selama 40 minit dan akan ditayangkan secara berulang bermula 9.00 malam sehingga 12.30 tengah malam.

Selain itu, katanya 20 acara sampingan pencahayaan lain akan turut dianjurkan dengan kerjasama antara PPj, Putrajaya Holdings dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta beberapa syarikat lain.

“Ini termasuklah pelbagai reka bentuk struktur bebas bercahaya yang dibina di tengah-tengah boulevard yang akan menjadi tarikan pengunjung, beberapa jenis tema taman bercahaya, jalan hologram dan Arena E-Sukan LAMPU,” katanya.

Katanya seramai satu juta pengunjung dijangka akan hadir sepanjang empat malam LAMPU 2018 diadakan dan pihaknya telah mengambil langkah dalam pengurusan trafik bagi memastikan keselesaan orang ramai.

“Kita menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma yang disediakan menggunakan laluan dari Putrajaya Sentral dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ke tapak LAMPU 2018,” katanya.

Katanya pada sambutan ambang tahun baharu, LAMPU 2018 akan turut menampilkan pertunjukan bunga api digital dan bunga api.

–BERNAMA