Lan Pet Pet cerita detik terendah dalam hidup, terduduk mengenang rumah dilelong sewaktu PKP

Oleh KIM SYAZIE

Salah seorang anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet menceritakan detik paling pahit dalam hidupnya apabila kediamannya telah dilelong sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu.

Memetik Mstar, Lan mengakui rumahnya yang terletak di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor telah dilelong pada tahun 2020 kerana gagal melunaskan bayaran bulanan kepada bank. 

Kata Lan, ia adalah momen yang paling tidak dapat dilupakan olehnya.

“Sehingga ke hari ini, memang saya tak boleh lupa. Saya terduduk apabila rumah tu kena lelong.

“Tidak mudah nak melepaskan rumah itu namun apabila dah berlaku, ianya membuatkan semangat saya naik kembali demi meneruskan kehidupan,” katanya.

Jelas Lan lagi, ketika itu dirinya malu untuk meminta bantuan dari orang lain dan hanya berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusannya mencari rezeki.

“Nak minta bantuan pada orang lain saya memang malu, oleh itu saya memohon kepada Allah agar kesihatan saya baik, dan dipermudahkan mencari rezeki.

“Setiap hari saya berdoa,” katanya.

Tambahnya, dia kehilangan punca pendapatan ketika PKP dan memutuskan untuk terus berkerja keras demi keluarganya.  

“Memang penat saya bekerja tanpa henti, akan tetapi, isteri dan anak-anak yang jadi penguat untuk saya terus usaha keras untuk tampung perbelanjaan harian keluarga,” ujarnya.

Sejak tahun 2020, pelbagai perniagaan diusahakan oleh Lan seperti produk sambal belacan, barang kesihatan, bekerja di firma guaman, membuat food review dan yang paling baru ialah perniagaan burger.  

Lan Pet Pet merupakan adik ipar kepada pelakon Rozita Che Wan dan abang ipar kepada Ayu Raudhah, apabila dia berkahwin dengan Ruby Che Wan pada tahun 2008. 

Baca juga: Asyik beli sambal paru dekat kedai? Rupanya senang je buat, tahan lama pula tu!