Lancar ‘single’, pengurus dakwa Fattah Amin tak tahu mengenai hal tersebut, cerai bukan gimik

Oleh MAISARAH AISYA

Tular mengenai runut bunyi atau OST drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2 yang dinyanyikan pasangan baru bercerai Fattah Amin dan Nur Fazura bakal dilancarkan.

Tidak mahu disalah erti, pengurus Fattah, Sakirin Acha memaklumkan pihaknya tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single ‘Bertahan Demi Cinta’ lapor Harian Metro.

Kenyataan tersebut dikeluarkan untuk menepis dakwaan netizen yang menuduh Fattah cuba menggunakan isu perceraiannya sebagai gimik untuk mempromosikan single itu.

“Saya baru saja menghubungi Fattah untuk mengetahui perkara ini dan dia maklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet ini.

“Saya ingin tegaskan perceraian ini bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet atau dibuat main.

“Saya orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu pada waktu sekarang,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelas Acha lagi, proses penggambaran muzik video sudah lama dibuat di Indonesia dan tak menyangka ia akan dilancarkan sekarang.

“Lagu ini pernah dimainkan dalam drama Hero Seorang Cinderella 2. Malah proses penggambaran muzik video juga sudah lama dibuat di Indonesia.

“Cuma tak sangka pula single ini dilancarkan sekarang hingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak benar.

“Jadi, saya harap netizen berhenti membuat spekulasi tak betul,” tambahnya.

Baca juga: “Kahwin ada lagu, cerai pun ada?”, netizen terkejut Fattah-Fazura lancar lagu duet baru