Land Swap era Mahathir, Menhan digesa tidak pilih kasih

Land Swap era Mahathir, Menhan digesa tidak pilih kasih
Shaharizukarnain Abdul Kadir

Pas menggesa Kementerian Pertahanan tidak melakukan pendakwaan terpilih dalam membongkarkan skandal projek pertukaran tanah (Land swap) di bawah kementerian itu sejak 1997

Ahli Parlimen Setiu Shaharizukarnain Abdul Kadir berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Khamis Lepas, 13 daripada 16 projek land swap di bawah kementeriannya adalah akibat campur tangan politik.

Bagaimanapun terdapat 4 daripada 13 projek yang dimaksudkan itu berlaku ketika pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri serta Syed Hamid Albar sebagai Menteri Pertahanan.

“Persoalannya, apakah tiada laporan dikemukakan terhadap SPRM bagi keempat-empat projek yang dimaksudkan?

“Jika begitu, bukan sahaja projek land swap tersebut dipercayai mempunyai ‘kepentingan politik’ tertentu, bahkan, lebih malang lagi, siasatan terhadap skandal projek berkenaan juga dilihat menyebelahi kepentingan politik tertentu, ” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Shaharuzukirnain berkata, Kementerian Pertahanan disaran membongkarkan salah laku yang berlaku berkenaan isu land swap ini serta tidak melakukan pendakwaan terpilih disebabkan konflik kepentingan sesetengah pihak.

Pada Khams lalu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam sidang akhbar mendakwa pelaksanaan 13 daripada 16 projek land swap terbabit didapati melibatkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Hasil laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang itu turut mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan daripada projek tersebut melebihi RM500 juta.

Kesemua 16 projek itu terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan yang telah dan akan dipindah milik.

Mohamad bagaimanapun menafikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terlibat dalam penyelewengan tersebut walaupun mengakui kaedah land swap itu dimulakan sejak tahun 1997 ketika Dr. Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun laporan setebal 59 muka surat yang dimuat naik di laman web Kementerian Pertahanan, bagaimanapun, mendapati empat daripada 13 perjanjian pertukaran tanah berlaku semasa penggal pertama Mahathir menjadi perdana menteri.