Malaysia Dateline

Land Swap: Hasil siasatan Jawatankuasa dapati penglibatan bekas PM, menteri pertahanan

Hasil laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati anggaran kerugian dan ketirisan  hasil kerajaan adalah melebihi RM500juta melibatkan bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan  serta  penglibatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pengurusan  projek  ‘Land Swap’ di Kementerian Pertahanan.

Menterinya  Mohamad Sabu berkata, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati 13 daripada 16 projek ‘land swap’ itu melibatkan  2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya telah dan akan dipindah milik.

Beliau turut menafikan penglibatan langsung Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mememegang jawatan Perdana Menteri ke-4.

Mohamad berkata, penyelewengan tersebut berlaku selepas era pentadbiran Dr Mahathir.

“Tidak ada, ia berlaku selepas itu (pentadbiran Mahathir) ‘land swap’ mula diperkenalkan pada 1997 tapi yang berlaku kemudiannya dan kita akan memerhatikan siapa perdana menteri waktu itu,” katanya menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang media diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir Pengerusi JKSTUPKK Tan Sri Ambrin Buang, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Mohamad sebelum itu membentangkan hasil siasatan JKSTUPKK di Dewan Negara hari ini,

Katanyam, tanah-tanah balasan yang terlibat membabitkan nilai sebanyak RM4.8 bilion mengikut penilaian Jabatan Penilaian Tanah dan Harta (JPPH) dan kos projek sebanyak RM4.9 bilion.

“Status projek-projek tersebut berada di pelbagai peringkat pelaksanaan iaitu 5 projek telah siap sepenuhnya, 1 projek gagal, 2 projek sedang dalam pembinaan, 1 projek telah ditandatangani, 3 projek masih belum ditandatangani dan 4 projek mendapat kelulusan prinsip jemaah menteri kerajaan terdahulu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Hasil siasatan ke atas 16 projek JKSTUPKK mengenalpasti 6 kelemahan dalam pengurusan projek land swap.

Pertama: Anggaran kerugian dan ketirisan hasil kerajaan melebihi Rm500juta disebabkan penilaian tanah lebih rendah dariapda nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.

Kedua: Tanah Kerajaan telah dipindah milik walaupun projek balasan belum disiapkan sepenuhnya.

Ketiga: Ketidakpatuhan dan ketidakakuran kepada terma-terma kontrak, peraturan-peraturan, standard operating procedures (SOP) kerajaan.

Keempat: Ketiadaan ‘due diligence’ yang komprehensif terutamanya keupayaan teknikal dan kewangan syarikat yang terlibat sehingga menyebabkan kelewatan atau kegagalan dalam projek dan tiada perancangan yang teliti oleh Kementerian Pertahanan dalam pelaksanaan projek menyebabkan objektif asal tidak tercapai sepenuhnya,” katanya.

Kelima:Tiada perancangan teliti oleh kementerian Pertahanan dalam pelaksanaan projek menyebabkan objektif asak tidak tercapai dan;

Keenam: Campur tangan politik keterlaluan telah menyumbang kepada kelemahan tadbir urus pelaksanaan projek land swap di Kementerian Pertanahanan,” ujarnya.

Tambah Mohamad lagi, lanjutan daripada penemuan dan cadangan JKSTUPKK itu beberapa tindakan penambahbaikan telah dicadangkan kepada Kementerian Pertahanan.

“Satu laporan berkaitan 2 projek “land swap” kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 21 Februari 2019 di kem tentera Hutan Melintang, Perak dan Paloh, Johor.

” Kementerian Pertahanan juga mengemukakan permohonan penilaian semula bagi semua tanah balasan yang terlibat dengan projek penswastaan bagi membolehkan sebarang rundingan lanjut dan penetapan nilaian tanah balasan kelak memberi keuntungan kepada pihak kerajaan selaras dengan prinsip “value for money”.

“Untuk makluman, pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan secara penswastaan melalui kaedah ‘land swap’ merupakan salah satu inisiatif berasaskan kepada prinsip sesuatu projek pembangunan secara reka dan bina (design and build) dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta berdasarkan nilaian tanah semata-mata tanpa sokongan dan sumbangan kewangan kerajaan.

“Sebagai balasan, pihak swasta akan memperolehi sebidang tanah lain milik kerajaan setelah projek pembangunan yang dilaksanakan selesai dan diterima oleh Kerajaan.

“Dalam hal ini, tiada implikasi terhadap kewangan kerajaan dan risiko pembangunan adalah di bawah pihak swasta sepenuhnya sehingga projek pembangunan tersebut siap dan diserahkan kepada kerajaan,” katanya.

Mohamad menambah, kementeriannya  mula melaksanakan pembangunan secara kaedah “land swap” sejak 1997 sehingga kini.

Katanya, pendekatan pelaksanaan secara “land swap” ini dianggap salah satu pilihan yang terbaik oleh kerajaan terdahulu dalam usaha menampung keperluan peruntukan pembangunan yang tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak perancangan menaik taraf dan membina fasiliti ketenteraan.

Isu “land swap” (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah Kementerian Pertahanan timbul selepas bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah kementerian itu dipindahkan kepada sebuah syarikat milik 3 individu tanpa tender terbuka.

Dakwaan itu dibuat oleh Rafidah menerusi 1 surat terbuka yang ditujukan kepada berkas perdana menteri Najib Razak bertarikh 8 April tahun lalu.

Beliau mendakwa semua tanah berkenaan dipajakkan selama 40 tahun kepada syarikat berkenaan untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial.

Antara hartanah yang disebut Rafidah dalam surat terbuka itu ialah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru.