Land Swap: Kementerian Pertahanan ke SPRM serah dokumen babitkan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang

Land Swap: Kementerian Pertahanan ke SPRM  serah dokumen babitkan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang

Kementerian Pertahanan membuat laporan berkaitan isu Land  Swap membabitkan Kem Paloh di Kluang dan Kem Hutan Melintang di  Bagan Datoh ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Land Swap  adalah projek pembangunan kem-kem tentera yang dibiayai melalui kaedah pertukaran tanah kem tentera, khusus  kepada kem tentera yang berada di kawasan bandar.

Hasil siasatan Jawatankuasa Tadbir Urus Kewangan dan Perolehan  (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang ke atas 16 isu  Land Swap mendapati kedua projek itu dijalankan oleh pihak swasta  hasil pertukaran tanah kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di  Negeri Sembilan.

Menurut Pegawai Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie  Ismail,  dua daripada Land Swap itu  iaitu  Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang  membabitkan pertukaran tanah ke atas  tapak Kem Kinrara dan Kem Rasah dakwanya ada kaitan dengan campurtangan politik.

“Hasil siasatan dilakukan  JKSTUPKK mendapati terdapat campur tangan politik  keterlaluan ke atas dua projek kem tersebut.

“Kem Paloh dan kem Hutang Melintang tidak termasuk dalam perancangan kerajaan untuk dibina.

“Walau bagaimanapun untuk Land Swap  itu tapak di Kem Kinrara ini kerajaan dan  pihak swasta telah bersetuju untuk membina 3 projek  iaitu kem 1 Bridget di Port Dickson; Markas Tentera Udara 2 di Kementah dan; Pusat Latihan Longistik di Sendayan.

“Tetapi apabila hendak dilaksanakan projek Kem 1 Bridget telah dibatalkan dan dipindahkan dengan pembinaan Kem Paloh di Parlimen Semberong.

“Di sini terdapat arahan politik pihak tertentu dan penglibatan secara lansung pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)  untuk menambah daftar pengundi di Dun Paloh dan Dun Hutan Melintang di Parlimen Bagan Datoh,” ujarnya ketika ditemui media  selepas menyerahkan laporan JKSTUPKK ke SPRM hari ini.

Beliau juga berkata berlaku keraguan dalam penilaian asal Land Swap di Kem Kinrara tersebut.

Katanya di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuat ketetapan yang diberikan  kepada syarikat swasta RM500 juta.

“Sedangkan penilaian dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan  Harta (JPPH) kem tersebut nilainya RM758juta.

“Keraguan juga berlaku apabila arahan pentadbiran lalu untuk mencari  tapak pembinaan kem di Paloh seluas 62 ekar yang mana penilaian JPPH  hanya bernilai sekitar RM7juta tetapi diarahkan  dibeli oleh  pentadbiran lalu 43 peratus  lebih tinggi daripada penilaian semasa iaitu  lebih  RM10juta,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, berlaku sama ada kecuaian atau salahguna  kuasa apabila kedua kem tersebut diarah pembinaan sebelum sebarang   kontrak ditangani antara kerajaan dan pihak swasta.

“Sebahagian besar projek sudah dilaksanakan sebelum kontrak ditangani oleh kedua pihak.

“Daripada siasatan ini juga mendapati kepentingan dan keselamatan  anggota tentera telah terabai.

“Pembinaan 1 Bridget di Port Dickson adalah satu keperluan kerana kem 1 Bridget di Rasah berada dalam keadaan usang dengan  bangunan  lama di zaman penjajah. Sebaliknya ia tidak dilaksanakan tetapi sebaliknya membina Kem Paloh.

“Selain itu anggota tentera telah diarahkan berpindah ke Kem Hutan Melintang tanpa bangunan disitu mendapat sijil layak menduduki. Sudah tentu jaminan keselamatan tiada di kem tersebut.

“Projek pembinaan Kem Hutan Melintang matlamat asal untuk perkukuhkan ketenteraan di Pantai Barat Semenanjung ujntuk ditempatkan ke Kem Tambun dan Hutan Melintang. Tetapi apabila projek ini selesai yang dipindahkan adalah askar Wataniah.

“Pemindahan anggota tentera ke Kem Tambun dan Kem Kemunting telah dibatalkan,” ujarnya.

Beliau berkata kedua kem di Paloh dan Hutan Melintang telahpun beroperasi sejak 2018 lalu.

Difahamkan keseluruhan laporan membabitkan 14 lagi Land Swap akan dibentangkan ke kabinet untuk menyerahkan keseluruhan laporan tersebut kepada SPRM.

Semalam Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata mengalami kerugian RM500juta susulan berlaku salahguna kuasa ke atas 16 lot tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara menerusi kaedah Land Swap.