Malaysia Dateline

 Land swap: Kertas Jemaah Menteri telah dibentangkan pada 18 September tahun ini

Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) telah membentangkan Kertas Jemaah Menteri pada 18 September lalu untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju projek di Hutan Melintang, Perak.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, di samping itu, pemakluman kepada Jemaah Menteri turut dilaksanakan pada 18 Oktober lalu melibat tujuh projek lain bertujuan untuk mendapatkan hala tuju projek-projek tersebut.

“Dalam perkembangan sama (land swap) pihak kementerian telah mengemukakan laporan siasatan bagi dua daripada enam belas projek land swap kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 21 Februari lalu.

“Laporan siasatan bagi baki 14 projek land swap pula telah dikemukakan pada 16 Mei 2019 untuk siasatan lanjut pihak SPRM. Berikutan itu, Mindef bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM dalam penyiasatan ini.

“Sehingga kini, pihak kementerian tidak dimaklumkan mengenai sebarang penemuan atau hasil siasatan oleh pihak SPRM berkaitan projek tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) meminta Mohamad (PH-Kota Raja) menjelaskan isu 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian bernilai RM4.7 bilion serta status tindakan kerajaan terhadap semua pihak yang terlibat dengan pembelian 6 helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini

Mengenai pembelian enam helikopter itu, Mohamad menjelaskan hala tuju perolehan enam buah helikopter McDonnel Douglas (MD530G) akan dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan dalam masa terdekat.

Katanya, sebarang tindakan terhadap syarikat dan mereka yang berkaitan, akan diambil sewajarnya selepas keputusan terhadap hala tuju perolehan ini dibuat.