Malaysia Dateline

Land swap: Patriot gesa SPRM, polis siasat semua bekas menteri pertahanan ke atas 16 projek

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendesak siasatan dijalankan dengan segera terhadap semua Menteri Pertahanan terdahulu yang berkhidmat dari 1997 hingga Mei 2018 berhubung isu tukar tanah (land swap) membabitkan 16 projek urus niaga.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan perlu diambil terhadap pegawai yang gagal memastikan transaksi tukar tanah dijalankan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP).

Katanya, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu bertanggungjawab atas kegagalan pertukaran tanah yang terjadi ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, sama ada beliau sendiri mendapat manfaat atau tidak

“Patriot terkejut apabila bekas Menteri Pertahanan sendiri mencabar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong untuk membuktikan sekiranya beliau (Hishamuddin) secara peribadi mendapat manfaat daripada tawaran pertukaran tanah Mindef.

“Cabaran tersebut dilemparkan selepas Mohamad Sabu membentangkan laporan di Dewan negara bahawa jawatankuasa penyiasat menemui kerugian dan kebocoran melalui 16 projek tanah swap melibatkan 1,186 hektar tanah tentera, dan kerugian lebih daripada RM500 juta.

“Pelaksanaan perjanjian tukar tanah dilihat tidak dirancang dengan teliti dan tidak ada usaha yang sewajarnya dilakukan ketika melantik pemaju, mengakibatkan projek-projek yang belum selesai, dan yang telah selesai tapi dengan kualiti yang tidak memuaskan.

“Terdapat juga gangguan campur tangan untuk kepentingan politik dan memilih lokasi pertukaran tanah khusus untuk membantu ahli politik Barisan Nasional (BN) memenangi undi, seperti yang dilaporkan secara meluas mengenai empat kem – Hutan Melintang di Perak, Segamat dan Paloh di Johor, dan Bera di Pahang.  Ia sangat memalukan bahawa sesetengah kem itu terpaksa ditutup selepas PRU,”katanya.

Beliau turut berkata, sama ada Hishammuddin mendapat faedah secara langsung daripada tawaran yang disengajakan, ia terpulang kepada siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, siasatan harus dijalankan terhadap kesemua bekas Menteri Pertahanan waktu itu.

Sebelum ini, Hishammuddin melemparkan cabaran selepas Menteri Pertahanan membentangkan laporan itu di Dewan Negara, yang disediakan oleh Jawatankuasa Penyelidikan, Perolehan dan Penyiasatan Kewangan yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Dilaporkan bahawa jawatankuasa penyiasat menemui kerugian dan kebocoran melalui 16 projek tukar tanah melibatkan 1,186 hektar tanah tentera, dan kerugian lebih daripada RM500 juta.  Ia juga melaporkan bahawa 13 daripada 16 perjanjian pertukaran tanah melibatkan mantan Menteri Pertahanan dan bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, tambahnya lagi, nasihat yang diberikan Hishamuddin kepada Mohamad dan Chin Tong yang berbunyi ‘Jika mereka tinggal di rumah kaca, jangan cuba membaling batu’, adalah nasihat yang tidak masuk akal.

“Ia tak lain tak bukan hanya percubaan untuk mengalihkan kesalahan kepada Menteri Pertahanan dan timbalannya dan ia sama seperti meletakkan tudung untuk menutupi kesalahan sendiri. Sifat itu dapat diperhatikan sama seperti tingkah laku bosnya yang tidak malu menyatakan ‘Malu Apa, Bossku’, “ujarnya.