Landasan di Palu rosak pesawat TUDM tidak dapat serah bantuan

Landasan di Palu rosak pesawat TUDM tidak dapat serah bantuan

Pegawai Memerintah 22 Skuadron Leftenan Kolonel Baharin Mohamad berkata keputusan supaya pesawat itu tidak mendarat di Palu, iaitu kawasan yang terlibat dengan bencana itu, dibuat atas faktor keselamatan.

“Kita difahamkan terdapat sedikit kerosakan pada landasan di Palu dan pihak berkuasa Indonesia tidak membenarkan pendaratan pesawat besar seperti A400M.

“Dari Balikpapan, barang bantuan kemanusiaan akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130H milik TUDM dan pesawat Tentera Udara Indonesia, yang juga pesawat C-130H,” katanya yang menyertai misi bantuan kemanusiaan TUDM ke Sulawesi, lapor Bernama semalam.

Menurutnya, pesawat A400M mampu mendarat pada jarak kurang daripada 6,000 kaki panjang landasan dan berlepas pada jarak 3,500 kaki.

Dalam pada itu, kira-kira 5,000 kilogram bekalan makanan diterbangkan dengan pesawat A400M milik TUDM ke Balikpapan hari ini dari Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma di Jakarta pada pukul 3 petang.

“Turut dibawa dalam penerbangan itu ialah dua buah lori tangki minyak seberat 7,200 kilogram,” katanya. Beliau berkata dua buah lagi pesawat TUDM C-130H akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuching ke Balikpapan dan kemudian Palu untuk misi bantuan yang sama esok.

Menurutnya, dua helikopter EC725 juga akan diterbangkan dari Labuan ke Balikpapan esok sebelum ke Palu untuk misi yang sama.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 skala Richter disusuli tsunami yang melanda Sulawesi terutama Palu dan Donggala Jumaat lalu, telah menyebabkan kemusnahan harta benda.

Menurut badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, setakat tengah hari semalam, bencana itu mengorbankan 1,407 orang sementara lebih 50,000 orang hilang tempat tinggal. Laporan media menyebut lebih 200,000 mangsa gempa memerlukan bantuan kecemasan segera.