Malaysia Dateline

‘Langau yang merosakkan’, penyokong Pas saling berbalah

Ketegangan kumpulan penyokong Pas dilihat semakin ketara apabila perbezaan pandangan dalam kalangan mereka berlaku secara terbuka di media sosial.

Perbalahan berlaku apabila ada yang penyokong Pas tegar sebelum ini tampil menegur kepimpinan parti yang sekarang ‘menumpang’ dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penyokong Pas, Fais Al-Hajari antaranya meluahkan isi hatinya apabila mendakwa pelbagai kata nista dilemparkan kepadanya mutakhir ini dipercayai daripada penyokong parti itu sendiri.

“Koyak! Futur (hilang semangat untuk berjuang)! Tak cukup tarbiyah! Langau yang merosakkan! Hati tisu! Lemah! Putus asa! Bising sebab tak dapat projek, jawatan!

“Apa saja yang orang tak kata kepada aku akhir-akhir ini. Teruskanlah kata begitu kat setiap orang yang berlaga angin dengan korang. Silakan.

“Kalau korang yakin dengan ayat-ayat sebegitu membuatkan korang boleh menang, silakan,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook yang kemudiannya tular di media sosial.

Fais Al-Hajari

Pemilik Pusat Terapi Bekam Al-Hajari yang sebelum dikenali sebagai penyokong tegar Pas itu berpendapat sikap penyokong merupakan cerminan pemimpin.

“Lagipun, tiada pemimpin nak turun padang jumpa marhaen ni melainkan untuk poligam (politik gambar), kemudian buat status di FB. Bagi cadangan kat WhatsApp pun kena smash,” luahnya lagi.

Membidas hujah hentaman diterimanya termasuk, “Kalau setakat penyokong, tak payah ambil hati” dan “parti takkan rugi kalau kau tergelincir dari landasan!”, Fais berkata, semoga mereka ‘berjaya’.

“Maka good lucklah merayu undi marhaen masa PRU nanti. Kepada semua, jom BMFBe Millionaire First.

“Idok le politikus ni nak membantu kita belaka yobbb… Kita je le yang kena bantu diri sendiri,” tambahnya lagi.

Perangkap DAP 

Walau bagaimanapun, luahan hati Fais itu tetap mengundang kecaman individu yang dipercayai penyokong Pas sendiri.

Malah, ada yang ‘mengheret’ DAP dalam kancah pertentangan pendapat sesama mereka lantaran hanya mempertahankan pemimpin parti.

“Kadang-kadang kita jangan pertikaikan apa yang pimpinan buat. Mereka lebih nampak suasana politik semasa.

“Apa pun tahniah, saudara dah termasuk perangkap DAP. Mati nanti suruh Lim Guan Eng baca talkin,” kecam Syed Sahid antara lebih 100 komentar yang membanjiri hantaran Fais dalam tempoh 14 jam itu.

Terdapat juga yang menganggap tidak harus ‘mengadu’ hal berkaitan kepimpinan parti di media sosial kerana akan menimbulkan lebih banyak perkara yang tidak diinginkan.

“Buat apa yang tuan suka, nak jadi jutawan. Berhenti mengadu di FB, mengundang lebih banyak drama yang tak manis,” Ibnu Halim.