Malaysia Dateline

Langgar jalan berlubang penunggang motosikal maut

Penunggang motosikal yang dikenali sebagai Ho Yan Yee berusia 75 tahun terkorban dalam kemalangan jalan raya akibat terlanggar jalan yang berlubang.

Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya ketika sedang menunggang di Jalan Tengah di Kuala Lumpur menuju ke Mid Valley awal pagi ini dan meninggal dunia ditempat kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Zulkefly Yahya seperti dilaporkan The Star siasatan awal menunjukkan bahawa penunggang motosikal terbabit melalui jalan berlubang, menyebabkan mangsa jatuh.

“Kami diberitahu mengenai kemalangan itu pada pukul 7.30 pagi hari ini yang berlaku setelah penunggang motosikal itu hilang kawalan motosikalnya di Jalan Tengah menuju ke Mid Valley,”kata beliau.

Isu jalan raya berlubang kini hangat diperkatakan ekoran Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini terlibat dalam kemalangan ketika berbasikal di Banting akibat jalan berlubang.

Susulan itu, Jabatan Kerja Raya Kuala Langat (JKR) tampil memohon maaf kepada menteri terbabit sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai yang melabelkan JKR bersikap ‘double standard’ yang hanya cakna kepada menteri bukannya orang ramai.