Malaysia Dateline

Langgar perjanjian nuklear, Trump sifatkan Iran sedang bermain dengan api

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menyifatkan bahawa Iran sedang “bermain dengan api” selepas Tehran mendedahkan bahawa stok simpanan uranium diperkaya rendahnya adalah melebihi jumlah dibenarkan di bawah perjanjian nuklear antarabangsa yang ditandatangani pada 2015, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Ditanya seorang pemberita di Pejabat Oval jika beliau mempunyai mesej untuk Tehran, Trump berkata: “Mereka tahu apa yang mereka lakukan. Mereka tahu mereka sedang bermain dengan apa, dan saya rasa mereka sedang bermain dengan api.”

Terdahulu, Iran mendedahkan bahawa ia telah melanggar had yang ditetapkan berkaitan stok simpanan uranium diperkaya rendah, apabila membenarkan jumlahnya melebihi 300 kilogram seperti yang dipersetujui di bawah perjanjian itu.

Iran telah memberi amaran bahawa ia akan melanggar perjanjian itu jika Kesatuan Eropah (EU) gagal mengatasi sekatan AS.

“Jadi, tiada mesej untuk Iran,” kata Trump kepada pemberita.

Pelanggaran itu menyusuli tindakan AS menarik diri daripada perjanjian nuklear tersebut tahun lepas dan kekecewaan Tehran berhubung kegagalan EU melawan sekatan AS serta meningkatkan perdagangan dengan Iran.

Sekatan AS telah menghalang perniagaan Eropah berdagang dengan Iran.

Dalam perkembangan lain, Rumah Putih berkata AS dan sekutunya “tidak akan” membenarkan Iran membangunkan senjata nuklear dan “tekanan maksimum ke atas rejim Iran akan diteruskan.”- BERNAMA