Malaysia Dateline

Langgar PKP: Anak Zahid, suami bakal dituduh di mahkamah

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuka kerta siasatan berhubung dakwaan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid bersama suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, siasatan pihaknya mendapati Nurul Hidayah memuat naik gambar dengan kapsyen di Instagram (IG) miliknya.

Dalam kenyataan medianya, beliau berkata, kapsyen itu bertulis, “Selepas selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa YB (Yang Berhormat) Datuk Masrizal, Timbalan Menteri bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada abah @AHMAD ZAHID HAMIDI tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family (rakan kepada keluarga kami).”

Kedua-dua mereka, jelasnya, telah diambil keterangan pada 24 April lalu dan kertas siasatan dirujuk ke pejabat Peguam Negara dan mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua mereka mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 3) 2020.

“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 3) 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Huzir mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan terhadap dakwaan perlanggaran itu.

“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada siapa pun yang akan terlepas dari sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa jua undang-undang negara,” tambahnya lagi.