Malaysia Dateline

Langgar SOP bukan jenayah, Hishamuddin tidak perlu letak jawatan, kata Ismail Sabri

Selepas Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendesak Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin letak jawatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri terus mempertahankan menteri kanan terbabit.

Ismail Sabri berkata, Hishammuddin Tun Hussein tidak perlu meletakkan jawatannya walaupun didapati bersalah melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Hishammuddin itu bukanlah satu jenayah.

“Langgar SOP bukanya jenayah.. tidak ada sangkut paut dengan jenayah, dan Kementerian Kesihatan sudah keluarkan kompaun.

“Kalau siapa kena kompaun kena letak jawatan, saya ingat tiada siapa yang boleh bekerja sebab semua kena letak jawatan,” katanya dipetik Astro Awani.

Semalam Hishammuddin Tun Hussein mengakui kekhilafannya kerana melanggar SOP ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad.

Jelas Hishammuddin dalam ciapan di Twitter rasminya, beliau hadir sebagai tetamu dalam majlis itu dan mengakui memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

Hari ini, Hannah Yeoh mendesak Hishammuddin letak jawatan kerana didapati telah melanggar SOP Covid-19 pada majlis persiapan PRN Johor anjuran MIC Johor Ahad baru-baru ini.