Malaysia Dateline

Langgar SOP: Calon Bebas, Ali Biju dikompaun RM4,000

Polis  Kontinjen Sarawak telah membuka satu kertas siasatan serta mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, ia berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh penyokongnya.

Katanya, pelanggaran SOP itu dilakukan oleh penyokong Ahli Parlimen Saratok terbabit semasa Hari Penamaan Calon pada 6 Disember lepas.

“Setakat ini satu kertas siasatan dibuka berkaitan dengan kes pada hari penamaan calon iaitu terdapat satu kompaun dikeluarkan kepada seorang calon Bebas yang mana penyokong-penyokong calon terbabit telah berkumpul dan menunggu calon tersebut selepas dia selesai penamaan calon di pusat penamaan calon,” tegas beliau pada sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak di Dataran Kawad Briged Sarawak PGA di Kuching hari ini.

Datuk Ali Biju yang merupakan ahli Bersatu bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas bagi mempertahan kerusi tersebut.

DUN Krian menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas manakala calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Danny Kuan.