Malaysia Dateline

Langgar SOP: Hannah desak Hishamuddin digugurkan sebagai Menteri Kanan

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein didapati telah melanggar SOP Covid-19 pada majlis persiapan PRN Johor anjuran MIC Johor baru-baru ini, demikian menurut Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Menurut Hannah walaupun Menteri Kesihatan telah mengarahkan Hishammuddin dan para pemimpin kanan BN yang lain dikenakan kompaun, Hishammuddin bagaimanapun mengakui yang beliau telah melanggar SOP dalam jawapan balas beliau kepada tweetnya semalam.

Bagi Hannah, tindakan mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan Eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape di dalam Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh Menteri Kesihatan.

“Jika di negara lain, Menteri mereka akan meletak jawatan jika didapati melanggar SOP. Saya berpendapat, Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan mengumumkan SOP Covid di peringkat kebangsaan lagi.

“Bagaimana kita boleh mempercayai beliau untuk memutuskan SOP untuk rakyat Malaysia? Ini bukan sekadar melanggar peraturan yang dibuat oleh diri sendiri,” kata Hannah.

Pada September 2021, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein telah ditugaskan oleh Perdana Menteri supaya mengetuai usaha menguruskan Covid-19 dibawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau pernah berkata “Antara arahan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada saya adalah untuk menyemak semula dan memperbaiki SOP sedia ada dari semasa ke semasa”.

Hishammuddin yang mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia) sebelum ini telah mengumumkan pelbagai jenis SOP Covid termasuk untuk ibadah umrah, MyTravelPass malah beliau turut memberi jaminan yang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dikendalikan dengan selamat.

Tambah Hannah, satu lagi tindakan cuai secara terang-terangan oleh kepimpinan Barisan Nasional Johor sehingga memaksa PRN diadakan ketika rakyat Johor masih belum pulih daripada kesan Covid.

“Ini adalah kegagalan kepimpinan yang serius dan Hishammuddin mesti meletak jawatan atau digugurkan sebagai Menteri Kanan.

“Jika tidak, rakyat Johor perlu menghukum pentadbiran Kerajaan BN/PN ini kerana tindakan cuai mereka kini sudah menjadi kebiasaan,” katanya lagi.