Malaysia Dateline

Langgar SOP: Pemuda AMANAH Selangor gesa tindakan terhadap Zuraida

Pemuda AMANAH Selangor menuntut tindakan undang-undang dikenakan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin yang didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketuanya, Fauzi Hashim berkata, Zuraida didakwa secara terang-terangan melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana menganjurkan program ‘Fun Ride’ di Ampang pada 13 Mac lalu.

“Pemuda AMANAH Selangor menyeru kerajaan menghentikan dasar pilih kasih, seolah-olah adanya satu SOP untuk rakyat dan satu SOP untuk menteri.

“Sangat tidak adil sekiranya rakyat dikompaun RM10,000 hanya kerana tidak memakai pelitup muka, tetapi pada masa yang sama menteri bebas melanggar SOP tanpa sebarang akibat.

“Malah, dengan bangga menayangkan aktivitinya di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MKN pada 10 Mac lalu mengeluarkan SOP am Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyenaraikan beberapa aktiviti tidak dibenarkan.

Ini termasuk aktiviti melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti fun run, fun ride, marathon, triathlon dan lain-lain aktiviti.

Sementara itu, di Facebook Zuraida, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat berkongsi beberapa gambar program ‘Fun Ride’ di bawah program Norma Baharu Rekreasi yang dirasmikannya kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, aktiviti berkenaan sebagai salah satu bentuk riadah dalam keadaan norma baharu dan para pengunjung telah diseru untuk memastikan setiap SOP yang ditetapkan untuk dipatuhi setiap masa.

Bagaimanapun, ruangan komen menteri itu dihujani kritikan orang ramai yang tidak berpuas hati apabila program sedemikian dan mereka yang terlibat, tidak dikenakan tindakan.

Mereka mendakwa, anjuran program itu memperlihatkan adanya SOP dua darjat dan mempersoalkan sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan saman RM10,000 terhadap kesemua mereka yang terlibat dalam program ‘Fun Ride’ tersebut.