Malaysia Dateline

Langgar SOP PKPB Adun Selat Klang dikenakan kompaun

Sebanyak RM1,000 dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari sebagai kompaun kerana melanggar syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima arahan mengenakan kompaun daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Polis akan menghubungi beliau untuk tampil ke IPD Shah Alam bagi menyerahkan kompaun terbabit.

“Kompaun hanya dikenakan terhadap penganjur rumah terbuka tersebut (Datuk Abdul Rashid),” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini di laman sosial, tular gambar sambutan Aidilfitri di kediaman Abdul Rashid yang didakwa melebihi had tetamu yang ditetapkan.

Sementara itu, Abdul Rashid menerusi satu kenyataan memberitahu, jemputan itu melibatkan penyokongnya sahaja dan tidak menyangka foto itu tular di media sosial.