Malaysia Dateline

Langgar SOP: Polis panggil pengantin, ahli keluarga Neelofa, pemilik hotel

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan akan memanggil penganjur majlis perkahwinan selebriti Neelofa dan pemilik hotel dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.

Tindakan itu susulan kertas siasatan yang sudah dibuka terhadap dakwaan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap majlis perkahwinan pengacara dan usahawan itu yang berlangsung di di Hotel Grand Hyatt berdekatan KLCC semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Siasatan mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

“Susulan itu kita akan memanggil pemilik hotel penganjur bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata selain pemilik hotel dan penganjur, polis kemudian akan memanggil pengantin dan pasangannya serta ahli keluarga dan sanak saudara yang hadir dalam majlis berkenaan.

“Mereka yang dikesan melanggar SOP, tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” tambahnya lagi.

Majlis pernikahan Neelofa dan Haris atau PU Riz mendapat perhatian apabila warganet tidak berpuas hati dan mempersoal pelanggaran SOP yang ketara apabila hadirin duduk rapat tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang turut hadir dalam majlis yang bertemakan Jabal Rahmah itu juga menerima kecaman teruk orang ramai di media sosial.