Malaysia Dateline

Langgar SOP, rentas negeri: Polis kesan beberapa personaliti media sosial

Sekumpulan influencer atau personaliti media sosial yang telah menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kelantan sedang dikesan oleh pihak polis.

Mereka terbabit dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk merentas negeri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kesalahan berkenaan, petang semalam.

Katanya, terdapat beberapa keping gambar yang dimuat naik individu berkenaan menunjukkan mereka bergambar dengan pengantin tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Menurutnya, ramai yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan pergerakan rentas negeri rakan pengantin dari luar ke Kelantan.

“Justeru, polis Kelantan sedang mengesan individu berkenaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan)(Kawalan Pergerakan Bersyarat),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, tular di media sosial sekumpulan personaliti media sosial yang dipercayai merentas negeri semata-mata untuk menghadiri perkahwinan rakannya di Kota Bharu.