Malaysia Dateline

Langgar SOP: Tidak ada dua darjat, tidak ada orang atas terlepas

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan melanggar SOP merupakan sesuatu yang serius malah beliau juga pernah dikenakan tindakan disebabkan perkara tersebut.

“Siapa-siapa yang langgar SOP dia akan diadili, tindakan akan diambil. Saya pun kena bayar RM1,000. Saya rasa kerajaan kena telus buat siasatan, ambil tindakan yang perlu. Sesiapa pun tidak akan terlepas.

“Dalam isu ini tidak ada dua darjat tidak ada orang atas terlepas, orang bawah terkena tidak ada orang di atas tak kena tangkap orang bawah kena gari tak boleh macam itu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Noor Azmi pernah dikenakan denda RM1,000 bersama Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria kerana melanggar SOP ketika PKP.

Katanya, kerajaan akan menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang melanggar SOP.

Mengulas mengenai tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada luar negara beliau berkata semua pihak perlu akur dengan SOP ditetapkan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebelum ini mendedahkan di Parlimen bahawa Khairuddin pada Julai lalu berkunjung ke Turki dan kini telah melakukan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita perlu ingat mengingati antara satu sama lain supaya kita dapat menyekat penularan Covid-19 ini.

“Jangan main-main ada kes pergi luar negara, apabila balik, diuji negatif Covid-19 kemudian apabila diuji semula, jadi positif dan kemudian dia mati sebab terlambat untuk dapatkan rawatan,” katanya.