Langkah bijak kerajaan negeri Perak pertimbang kenaikan tarif air, kata PKR

Langkah bijak kerajaan negeri Perak pertimbang kenaikan tarif air, kata PKR

Cadangan Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu bahawa kenaikan tarif air akan diberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum ia dilaksanakan adalah suatu tindakan yang bijak.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Gerik, Md Yunus Yusuf ketika ditemui semalam.

Md Yunus Yusuf

Malah katanya lagi, penangguhan serta penelitian semula kenaikan tarif air sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar amat dialu-alukan.

“Kerajaan perlu peka dan berhati-hati mengenai isu kenaikan tarif air sebelum mengenakan sebarang caj kenaikan kepada rakyat.

“Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan yang agak mendalam khususnya masyarakat golongan bawahan akibat kos sara hidup yang senantiasa meningkat, ” jelasnya lagi.

Menurut Yunus lagi, golongan B40 amat turut terkesan ekoran peningkatan ini.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih teliti kerana kekangan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

“Tidak dapat dinafikan tindakan kementerian mengumumkan kenaikan tarif air yang melibatkan semua negeri tidak lama lagi mendapat pelbagai reaksi.

“Sehubungan itu, jaminan MB Perak bahawa kenaikan tarif ini tidak akan membebankan rakyat sekiranya ia dilaksanakan oleh kerajaan amat melegakan,”katanya.

Oleh kerana itu ujar beliau lagi, rakyat mahukan perubahan sepertimana yang telah dijanjikan.

Maka itu tambahnya, membela nasib rakyat menjadi keutamaan dan tidak mungkin dikesampingkan baik oleh kerajaan negeri maupun kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini kerajaan melalui Menterinya, telah mengumumkan kemungkinan tarif air akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat.

Ia juga dikatakan selaras dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri bekalan air seluruh negara tidak lama lagi.

Namun begitu kata Yunus lagi, semua tindakan yang diambil oleh kerajaan haruslah tidak memberi impak negatif yang amat besar kepada rakyat.

Sebaliknya memberi suatu kemudahan dan kesenangan jangkamasa panjang sehinggakan Pakatan Harapan masih menjadi harapan untuk rakyat menjelang pilihan raya umum yang akan datang.