Langkah COVID-19 langkah derhaka

Oleh NASUHA RAHMAN

Nampaknya ramalan penulis mengenai Langkah COVID-19 memang benar. Hari ini satu surat telah dikeluarkan oleh Setiusaha Dewan Rakyat atas arahan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada hari Isnin 2 Ogos 2021 ditangguhkan, atas alasan yang memang telah dijangka sejak hari khamis 29 Julai 2021.

Persoalan timbul, adakah penangguhan ini berlaku kerana negosiasi yang sedang berlaku oleh pimpinan PN dengan perlbagai pihak untuk kekal berkuasa tidak membuahkan hasil lagi? Yang keduanya keputusan flip flop Umno terutamanya kluster Menteri dan Pengerusi GLC juga tidak menunjukkan sokongan kepada keputusan PAU dan MT Umno. Pimpinan Umno berkira-kira kerana mereka tiada kepastian survival politik masa hadapan untuk kembali berkuasa. Apakah kesudahannya? Kini rakyat berada dalam ketidaktentuan. Rakyat jugalah yang akan menanggung akibatnya.

Selepas Langkah Sheraton yang kelihatan Mahiaddin memposisi dan memperkukuh dirinya sebagai Perdana Menteri dengan sokongan pengkhianat dari PKR dan tangan-tangan ghaib yang bergerak dari belakang. Ini berlaku antara lain memastikan kesinambungan kerajaan PN pada PRU15, memastikan Umno berpecah dan memastikan PH lemah. Ia telah menjadi rahsia terbuka.

Selepas tersingkir dari Umno, beliau kelihatan seperti kera sumbang yang kemudian diambil sebagai anak-angkat oleh pimpinan Pakatan Harapan dengan penuh rasa belas kasihan setelah tiada siapa lagi dalam kalangan Umno/BN yang ambil peduli terhadap beliau. Walaubagaimanapun, TSMY mengambil peluang ini dengan memposisi diri dan melalui pendaftaran Bersatu beliau mengorak langkah ke kerusi keperdanaan (premiership chair) secara licik. Langkah beliau berjaya dengan dokongan gerakan pengkhianatan!

Langkah Sheraton telah menobatkan TSMY sebagai Perdana Menteri, kabinet PH gugur berderai dengan perletakan jawatan Tun Mahathir dan bermulalah sebuah episod kerajaan yang dibentuk melalui pengkhianatan. Kerajaan yang pada asalnya tiada jenama dan tanpa menifesto telah di jenamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas, Bersatu, STAR, SAPP dan Gerakan. Gabungan Parti Sarawak telah juga turut sama menandatangani Memorandum Persefahaman pada 17 Mei 2021. Umno/BN kemudian mengisytiharkan tidak menyertai perikatan itu, namun menyokong kerajaan PN. Langkah Umno/BN ini boleh dicatat dengan tinta emas sejarah politik negara sebagai langkah oportunis yang kononya untuk menyelamat Melayu. Begitu juga dangan Pas yang juga mendokong PN atas prinsipnya kononnya mempertahankan Melayu!

Beliau cuba membina imej sebagai bapa kepada seluruh rakyat Malaysia. Langkah Sheraton dengan mempopularkan dirinya dengan gelar atau imej sebagai Abah! Abah yang prihatin, abah yang mendoakan anaknya dan abah yang menitipkan belanja mingguan dan harian kepada ‘anak-anak’nya. Umno pula terikut-ikut dengan cuba mempopularkan gelaran “Pak Long Mail”. Sedar atau tidak, gelar Pak long Mail ini sebenarnya telah mengotorkan imej Umno sebagai pelaksana Kerajaan Gagal. Setiap hari Pak Long Mail tampil, setiap harilah kes turun naik, merumuskan polisi dan dasar yang kelam-kabut (sebentar tutup, sebentar buka), ada kilang ditutup pintu hadapan namun pintu belakang dibuka oleh orang lain dan pelbagai kesalahan sebenarnya telah banyak ditujukan kepada Pak Long Mail. Pak Long Mail sebenarnya mangsa Abah!

Setiap kali Abah bila muncul akan mengumumkan sesuatu yang menggembirakan, manakala bila Pak Long Mail muncul akan mengumumkan sekatan-sekatan. Sebenarnya secara halus imej Umno melalui Pak Long Mail telah dipalitkan dengan kegagalan, dasar flip-flop, data-data yang tidak dicerakinkan dengan tepat dan solusi kepada pandemik yang lemah serta gagal. Umno tidak menyedari ini (kecuali YBM Tengku Razaleigh) bahawa mereka duduk semeja dan sebaris dengan kerajaan gagal.

Itu pun kelihatan Pak Long Mail masih ingin menyantuni Abah kerana abah telah menghadiahkannya tropi Timbalan Perdana Menteri kerana kesetiaan mendokong Abah dan begitu jugalah dengan menteri kabinet dan pengerusi-pengerusi GLC yang telah menerima banyak habuan daripada Abah.

Bila menonton dan menganalisis ucapan-ucapan taklimat menteri dan ucapan balas ahli-ahli yang berhormat; ucapan menteri dan pendokong kerajaan amat hambar, tidak berfakta, tidak berasaskan data yang dianalisis melalui proses machine learning dan tidak memberikan solusi yang komprehensif. Hakikatnya antara ucapan terbaik hanya yang dikemukakan oleh YB Dato’ Seri Dzulkifly Ahmad, Kuala Selangor yang juga merupakan pakar toksikologi graduan institusi terkemuka dunia Kolej Imperial, London; Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Pengerusi Pejuang yang masih bersengat mempelopori idea Majlis Pemulihan Negara. Ucapan dan analisis mereka ini amat bernas, berpaksikan data sains, kesihatan awam dan solusi jangka pendek dan jangka panjang.

Namun penulis juga memuji Saudara Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang memberikan input baik dalam program imunisasi dan juga keterbukaan beliau menekuni ucapan balas YB dari kedua pihak dengan sabar dan kelihatan mencatat.

Namun dengan penangguhan sesi hari terakhir parlimen, maka nampaknya penyelesian mengenai pandemik seperti titah yang dihasratkan oleh SPB YDA tidak akan berkesudahan. Parlimen yang telah dikelirukan dengan kenyataan YB Menteri di Jabatan Pedana tidak sampai kepada membuat sebarang keputusan. Rasa dukacita SPN YDA terhadap kenyataan mengelirukan itu sebenarnya tidak boleh dibiarkan. Kenyataan balas oleh Pejabat Perdana Menteri pada petang 29 Julai 2021 boleh dianggap mencabar SPB YDA dan menidakkan hak bagi sebagai Raja Pemerintah dan Raja Berperlembagaan dengan fungsi-fungsi tertentu. Baginda bukan berperanan sebagai ‘Rubber Stamp’ tetapi sebagai pelindung dan payung bagi rakyat.

Baginda jelas mahukan rakyat diperlihara dengan mengambil pandangan semua pihak sebelum apa-apa keputusan diturunkan oleh tinta baginda. Pendekatan baginda memang tepat kerana ahli-ahli yang berhormat dewan rakyat yang mewakili rakyat mesti berbincang, membahas dan mengemukakan pandangan bagi rakyat yang mereka wakili. Rakyat itu adalah rakyat kebawah duli Tuanku.

Kebiadapan mendahului titah DiRaja tidak boleh dipandang ringan terutamanya oleh orang Melayu. Sesunggunya Langkah COVID-19 tidak menghalalkan Abah dan memanda menteri durhaka dan memintas kata-kata Raja. SPB YDA adalah tiang seri kedaulatan negara. Pak Long Mail tidak boleh pula berpeluk tubuh mendiam seribu bahasa hanya kerana menunggu peluang Abah menurunkan wasiat untuk mengambil kedudukan. Umno yang lahir di istana tidak boleh membiarkan takhta dilanggar oleh kerana kebiadapan. Langkah COVI19 tidak boleh dibiarkan untuk menyanggah SPB YDA. Yang ingkar, yang durhaka, yang tiada adab kepada Raja-raja Pemerintah wajib menerima akibatnya. Orang Melayu adalah bangsa yang penuh adab dan Raja-raja adalah payungan bagi rakyat.

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ketika menjalankan tugas selaku KDYMM Pemangku Raja Pahang melafazkan titah pada Majlis Perasmian Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang, 2017 ‘Raja-raja Melayu dengan orang-orang Melayu tidak boleh dipisahkan, ibarat aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku, bagai dakwat dengan kertas’. Seterusnya baginda bertitah; ‘Raja dan rakyat berpisah tiada, ialah perumpamaan yang dapat saya nyatakan yang menjadi kata-kata azimat. Hubungan yang terjalin ini menggambarkan raja dan rakyat saling melengkapi antara satu sama lain. Bersemayam raja di atas singgah sana sebagai memayungi rakyat serta negerinya agar sentiasa terpelihara dalam keharmonian, keamanan dan kesejahteraan’.

Maka fahamlah penulis mengapa SPB YDA menitahkan supaya parlimen bersidang dengan antara agendanya membincangkan semua perkara berkaitan dengan Ordinan Darurat bagi baginda mendapat input suara hati rakyat melalui wakil-wakil rakyat dan supaya tinta yang baginda turunkan bagi membatalkan proklamasi tersebut jelas dan benar-benar memayungi rakyatnya supaya selamat dan sejahtera.

Adakah ini pun sukar difahami oleh memanda Perdana Menteri/Abah dan hulu balangnya? Daulat Tuanku.

 

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Tulisan ini adalah merupakan pandangan dan analisis penulis dan tidak menggambarkan pendidian akademi.