Langkah dan pelaksanaan pembaharuan janji PH perlu dikaji semula

Langkah dan pelaksanaan pembaharuan janji PH perlu dikaji semula

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan pengundi Tanjung Piai yang bersuara bukan hanya bagi pihak mereka tetapi juga negara atas kekecewaan dan rasa tidak puas hati berikutan langkah pembaharuan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Perkara ini kata beliau, akan menjadi agenda pertama DAP dan PH selepas PRK Tanmjung Piai.

“Keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang mengejutkan ini memberikan desakan dan kepentingan mengkaji semula langkah dan pelaksanakan pembaharuan yang dijanjikan PH, khususnya yang terkandung dalam Buku Harapan, manifesto PRU14, yang mana Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji bagaimana kerajaan dapat melaksanakan semua janji dan manifesto,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri melalui blognya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu mengalahkan calon PH Karmaine Sardini.

Wee Jeck Seng memenangi pertandingan enam penjuru PRK itu dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding Karmaine yang mendapat 10,380 undi, Wendy Subramaniam daripada Gerakan (1,707), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).