Malaysia Dateline

Langkah elak kes Covid-19 melambung di PRN Melaka bakal dibangkit di Parlimen

Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka tertumpu kepada langkah yang akan dilaksanakan kerajaan bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku di PRN Sabah, tahun lalu.

Hal tersebut dijadual dibangkitkan semasa sesi soal jawab lisan Waktu Pertanyaan Menteri yang akan diajukan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) kepada Perdana Menteri.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat juga, Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan, inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan pengenalan mekanisme penyelamat korporat untuk membantu entiti perniagaan bermasalah.

Pada sesi jawab lisan, Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) akan meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kementerian sedang atau telah mula meneliti kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) pula meminta Menteri Sumber Manusia untuk menyatakan pendirian kerajaan untuk menaikkan gaji minimum pada kadar RM1,200 sebulan memandangkan sejumlah besar rakyat terbeban akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, sebanyak 10 Rang Undang-Undang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul untuk bacaan kali kedua, hari ini.

Antaranya, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021, Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.