Langkah kanan Ben, Gavin pada Piala Dunia

Langkah kanan Ben, Gavin pada Piala Dunia

Pemain profesional negara, Ben Leong dan Gavin Kyle Green memulakan kempen Kejohanan PIala Dunia Golf 2018 dengan langkah kanan apabila melakarkan sembilan bawah par 63 untuk berkongsi kedudukan keempat di Kelab Golf Metropolitan, Melbourne, Australia, hari ini.

Membuat penampilan sulung di kejohanan tersebut, pasangan negara itu mencuri tumpuan apabila suatu ketika mendahului saingan selepas membenam dua eagle di sembilan lubang pertama sebelum menamatkan saingan pusingan pertama dengan lima birdie.

Gavin melakukan pukulan eagle pada par tujuh lubang ketujuh sebelum menambah birdie pada lubang ke-10, 13 dan ke-18 manakala Ben pula merakamkan eagle pada par lima lubang kesembilan serta dua birdie pada lubang keenam dan ke-14.

Pasangan negara itu berkongsi kedudukan itu bersama juara bertahan Thobjorn Olesen-Soren Kjeldsen dari Denmark dan gandingan Belgium, Thomas Pieters-Thomas Detry.

Bagaimanapun, hanya satu pukulan memisahkan ketiga-tiga pasangan itu daripada pasukan pendahulu bersama iaitu Byeonghun An dan Siwoo Kim (Korea Selatan), Tyrrell Hatton-Ian Poulter (England) dan wakil tuan rumah, Marc Leishman dan Cameron Smith.

Pertandingan dwitahunan itu melibatkan 28 pasukan negara dengan menggunakan format fourballs pada pusingan pertama dan ketiga dan foursomes pada pusingan kedua dan terakhir.

Pada edisi lepas di Kelab Golf Kingston Health, Melbourne, pada 2016, Malaysia menduduki tempat ke-24 menerusi gandingan Danny Chia dan Nicholas Fung.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada 1994 apabila M. Ramayah dan mendiang P. Gunasegaran mendapat tempat kesembilan di Puerto Rico.

— BERNAMA