Malaysia Dateline

Langkah kerajaan tangani ECRL tidak perlu diputar belit

Pengumuman Perdana Menteri bahawa beliau bersetuju meneruskan projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak seharusnya diputarbelit kerana langkah itu adalah bagi membetulkan kepincangan tinggalan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Meskipun pihak kerajaan amat sedar projek ini bukan keutamaan untuk negara namun akibat ketelanjuran kerajaan dulu, meneruskan projek ini adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan.

“Semua tahu sepatutnya jaringan lebuhraya, pelabuhan berkualiti dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Pantai Timur lebih patut didahulukan berbanding projek ini,” kata bekas Ketua Jajahan Kota Bharu, Ismail Ghani.

Ini katanya, bukan bermakna projek ini tidak penting untuk keperluan rakyat dan pembangunan negara.

“Sebab itu meneruskan projek ini sama sekali bukan satu kesalahan.

“Apa yang cuba dibetulkan adalah cara pembiayaan dan manfaat yang patut diperolehi rakyat apabila projek ini berjalan,” katanya.

Apa yang dikesalkan menurut beliau adalah putarbelit yang cuba dimainkan secara tidak bertanggungjawab.

“Misalnya dihebohkan kononnya kos dinaikkan dari 55 billion ringgit kepada 70 billion ringgit.

“Ini bukan kenaikan oleh kerajaan baharu sebalik kos sebenar yang tidak diberitahu oleh kerajaan dulu,” katanya.

Ada percubaan katanya untuk mewujudkan persepsi bahawa ECRL diteruskan selepas Tan Sri Vincent Tan, yang dikatakan ‘kroni’ Tun Mahathir telah membeli saham T7 Global Berhad.

“Vincent membeli 5.04 peratus saham T7 Global Berhad melalui 3 transaksi pada 15-17 Mei 2018. Kemudian dikatakan, TS Vincent kini mengaut untung apabila saham T7 menaik nilainya.

“Paksi pada persepsi ini adalah kononnya TS Vincent kini ‘memiliki’ salah satu kontraktor ECRL selepas PH ambil alih kerajaan.

“Kononnya, ia telah diberikan kepada ‘kroni’ PM.

“Sebenarnya jika betul-betul dikaji, T7 ini belum lagi dilantik menjadi kontraktor untuk ECRL pun.

“Apa yang berlaku pada bulan Mac 2018 adalah T7 telah memasuki suatu memorandum kesefahaman dengan syarikat kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corp Bhd (EPIC) dan CMC Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputera untuk mewujudkan konsortium untuk dapatkan projek ECRL (bid) dan hanya untuk jajaran Terengganu,” katanya.

Lagipun katanya pada peringkat ini segalanya masih dalam kajian dan penyusunan semula.

“Tidak perlu andaian-andaian jahat terus ditimbulkan kerana kerajaan baru bergerak dengan begitu telus dan terbuka kepada segala teguran.

“Dalam sistem lama tak pernah terfikir dan berlaku apabila PM memilih untuk memegang sesebuah kementerian boleh beliau ubah apabila ada teguran segelintir rakyat, itupun sekadar di media sosial.

“Begitulah dalam penyelenggaraan ECRL ini, kerajaan akan tetap menjadikan kemantapan negara dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.