Malaysia Dateline

Langkah Menteri Kewangan ugut penjawat awam dikesali

Pelbagai pihak telah mempertikaikan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang membuat ugutan apabila dia dilaporkan berkata bahawa gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan dalam peperangan melawan pandemik Covid-19 tidak dapat dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Parlimen.

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata, beberapa pihak termasuk Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, dan peguam aktivis Haniff Khatri telah mempertikaikan kenyataan Tengku Zafrul itu.

Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Haniff telah merujuk kepada Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan menehnai perkara itu.

“Dalam bahasa paling mudah, Parlimen boleh meluluskan perbelanjaan tertentu sebelum Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) diluluskan,” katanya.

Hal ini, katanya, ditujukan khas kepada keadaan luar biasa.

“Kalau memerangi Covid-19 dan membayar gaji kakitangan awam, khususnya mereka di barisan hadapan, bukan keperluan luar biasa, apa lagi?” kata beliau dalam tulisannya di facebook.

“Jadi nampak seolah-olah Menteri Kewangan telah tersilap atau sengaja bermain politik dengan menimbulkan kebimbangan rakyat jelata khususnya kakitangan awam,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu.

Bagi beliau, adalah perbuatan jahat memperalatkan kakitangan awam bagi memaksa penerimaan belanjawan yang cacat dan tidak berpatutan.

Tengku Zafrul sepatutnya menasihati Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, dan Kabinet, mengenai bagaimana memperbaiki cadangan Belanjawan itu dengan mengambil kira cadangan Ahli Dewan, termasuk wakil-wakil Pembangkang,” kata beliau dalam tulisan itu.

Bagi Kadir, Tengku Zafrul kena ingat bahawa dia hanyalah budak hingusan dalam tendang terajang politik.

“Yang akan ditendang keluar kalau dia gagal meyakinkan majoriti Ahli Dewan Rakyat mengenai Belanjawan 2021adalah kerajaan Perikatan Nasional,” kata beliau.

Katanya, boleh jadi ada baiknya Ahli Dewan dari kedua-dua belah pihak berpakat melaksanakan peruntukan Perkara 102 (a) dan (b) supaya pentadbiran asas negara dan usaha memerangi Covid-19 tidak terjejas akibat ketidakpersetujuan mengenai Belanjawan 2021.

Lagipun, katanya, bukan semua Ahli Dewan dari parti-parti yang menganggotai Kerajaan PN bersetuju dengan cadangan Belanjawan.

“Hanya mereka yang mendapat habuan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan jawatan GLC saja yang mati-matian menyokongnya,” kata beliau.

Bagi Kadir, boleh jadi tujuan Tengku Zafrul dilantik menjadi Menteri Kewangan adalah untuk membebaskan kementerian itu daripada politik kepartian.

“Jadi eloklah dia tidak bermain politik melainkan tujuannya selepas ini adalah menjadi ahli politik sepenuh masa,” katanya.