Malaysia Dateline

Langkah siapsiaga Kementerian Kesihatan ekoran daripada penularan Covid terbaru

Ekoran daripada penularan kes Covid-19 di China, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan bahawa pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang dijadualkan tamat esok telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023.

Tindakan ini diambil untuk memudahkan Kementerian Kesihatan menjalankan kerja pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, empat langkah lain akan turut dilaksanakan. Pertama ialah pengawasan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal. Mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam 14 hari terakhir akan dikehendaki menjalani ujian RTK.

Sampel air kumbahan dari pesawat yang terbang masuk dari China akan diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Malaysia dengan ujian PCR. Semua pengembara dari luar ke Malaysia perlu melalui ujian saringan demam.

Kedua, pemberian vaksin Covid-19 untuk mereka yang berada dalam kumpulan risiko tinggi dan mereka yang belum mendapatkan dos lengkap akan diteruskan. Kumpulan berisiko tinggi boleh mendapatkan vaksin tanpa temu janji dari klinik.

Pesakit Covid-19 ditawarkan ubat antiviral Paxlovid.

Langkah ketiga untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan sistem kesihatan awam melibatkan pendekatan Cari, Uji, Kesan, Asingkan, Sokong (FTTIS) dan aplikasi MySejahtera akan diselaraskan.

Selain itu, KKM telah memulakan kempen “Malaysian Health Community Agent” atau MyCHAMPION untuk memperkasakan kawalan kendiri kesihatan.