Langkawi bakal jadi pengeluar beras pulut utama, kata PM

Langkawi bakal jadi pengeluar beras pulut utama, kata PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek penanaman padi pulut akan dilaksanakan di Langkawi seterusnya menjadikan pulau ini pengeluar utama beras pulut.

Beliau berkata, bagi tujuan itu Jabatan Pertanian akan mengenalpasti kawasan serta lokasi yang luas dan sesuai untuk menanam padi pulut yang berasingan dari kawasan penanaman padi biasa.

“Keputusan sudah dibuat dan mereka (Jabatan Pertanian) akan datang pilih tanah yang sesuai. Kalau berjaya ia boleh menjana pendapatan yang baik kepada penduduk Langkawi seterusnya menjadikan pulau ini sebagai pengeluar beras pulut.

“Ini harapan kita kerana saya percaya harga beras pulut lebih tinggi dari harga beras biasa jadi pesawah boleh tambah pendapatan mereka sekiranya menanam padi pulut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Peringkat Langkawi kepada 48 penerima di Kompleks Angkatan Pertahan Awam (APM) Daerah Langkawi hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Adun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir, yang juga Anggota Parlimen Langkawi, turut menyarankan agar penduduk di pulau ini menanam sayur-sayuran kerana memiliki permintaan yang tinggi.

“Ada banyak hotel di Langkawi tetapi mereka tidak dapat bekalan sayur-sayuran dan terpaksa mengimport dari mainland atau negara lain. Ini merugikan kita, sebaliknya kalau penduduk Langkawi rajin tanam sayur-sayuran mereka akan dapat jana pendapatan jauh lebih tinggi.

“Kita akan perkenalkan cara penanaman sayur secara bertingkat yang akan memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup berusaha,” katanya.

Mengulas mengenai kad KIDA, Dr Mahathir berkata pemegang kad itu boleh mendapatkan rawatan di empat buah klinik dan mendapatkan barangan keperluan di lima kedai yang berdaftar untuk program berkenaan.

“Kita mengambil berat tentang masalah rakyat terutama mereka yang lemah (sakit) dan berpendapatan rendah.

“Kita sedia untuk beri bantuan tetapi harap bantuan ini adalah sementara kerana dalam Malaysia ini kita suka melihat rakyat independent iaitu tidak bergantung kepada kerajaan sebaliknya mereka boleh mendapatkan pendapatan yang cukup bagi diri mereka dengan usaha dilakukan oleh mereka,” katanya.

— BERNAMA