Langsung tak pakai kertas undi, rakyat negara ini pilih wakil rakyat guna guli

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, guli yang dianggap sebagai permainan anak kecil rupa-rupanya mempunyai nilai yang sangat tinggi kepada sesebuah negara.

Bukan perkara ‘main-main’, rakyat di negara ini menggunakan guli di dalam sistem pengundian bagi memilih calon yang bakal mewakili mereka di parlimen.

Turut mempengaruhi pemilihan pemimpin negara, sistem pengundian unik ini telah mula diamalkan dari tahun 1965 dan kekal sehingga kini.

Difahamkan, sistem berkenaan masih diguna pakai oleh penduduk negara terkecil di benua Afrika yang terletak di bahagian barat, iaitu Gambia.

Mungkin kelihatan aneh, namun sistem pengundian menggunakan guli ini diperkenalkan bagi menangani masalah tahap buta huruf yang tinggi di negara itu.

Selain melekatkan gambar calon bertanding, tabung-tabung ini akan diwarnakan mengikut rona tema simbol parti yang diwakili oleh mereka.

Berhasil menyelesaikan masalah, rakyat hanya perlu memasukkan biji guli jernih di dalam peti undi iaitu beberapa tabung yang diperbuat daripada besi.

Apabila pengundi memasukkan guli ke dalam tabung (peti undi), ia akan menghasilkan bunyi seperti loceng yang menandakan satu undian telah dibuat.

Pasir atau habuk papan pula telah diletakkan pada dasar tabung dengan lebih awal agar tiada bunyi lain yang akan dikeluarkan setelah undian dilakukan.

Oleh kerana proses pengundian disahkan menerusi bunyi yang seakan loceng itu, rakyat juga dilarang menggunakan basikal pada hari pilihan raya.

Larangan yang terpakai di kawasan berhampiran pusat mengundi itu dikeluarkan kerana dikhuatiri bunyi loceng basikal bakal menganggu proses pengundian.

Selepas proses pengundian tamat, undian akan dikira dengan cara menabur guli berkenaan dalam dulang khas yang mempunyai 200 atau 500 lubang.

Bukan sahaja memudahkan pengiraan undi, penggunaan sistem ini juga sangat berpatutan dan tidak memerlukan pengeluaran belanja yang banyak.

Walaupun terlihat adil, namun proses pengundian ini malangnya masih tidak mampu menghalang pemimpin yang kalah untuk terus memimpin negara itu.

Jarang bertukar pemimpin, Gambia hanya pernah memiliki tiga orang presiden negara meskipun telah mencapai kemerdekaan pada 58 tahun lalu, lapor BBC News.

Baca juga: Sudah selesai mengundi? Ini 12 promosi makanan yang perlu anda cuba sempena PRN