Malaysia Dateline

Lanjut sehingga 19 Ramadan, PKP ‘dilonggarkan sedikit’ untuk dua perkara

Hanya diberi sedikit kelonggaran terhadap dua perkara apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu sehingga 12 Mei bersamaan 19 Ramadan.

Kelonggaran itu hanya membabitkan kebenaran pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) di kampus untuk pulang ke rumah dan kebenaran satu kali perjalanan kepada rakyat yang terkandas di kampung atau tempat lain sebelum PKP fasa pertama dikuatkuasakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hal tersebut dalam Perutusan Khas Ramadan secara langsung menerusi RTM, sebentar tadi.

PKP fasa tiga sepatutnya berakhir pada 28 April ini selepas kali pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Menurut Muhyiddin, hampir 100,000 pelajar di kampus yang sebelum ini tidak dibenarkan pulang boleh kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sedikit masa lagi.

Proses membawa pelajar itu pulang, ujarnya, giat dirancang kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan ia membabitkan jumlah yang besar.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mesti merancang pergerakan pelajar terbabit dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

“Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19. Kepada anak kita yang berada di kampus, insya-Allah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, butiran terperinci mengenai pergerakan pulang tersebut akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

“Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu. Beri sedikit masa kepada kementerian yang berkaitan untuk menguruskan perkara ini.

“Saya tahu anda semua rindukan anak masing-masing. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat,” katanya.

Keduanya, beliau berkata, kerajaan menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan untuk mereka yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing.

Jelasnya, kebenaran tersebut hanya diberi kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan giat mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan yang dijangka tentunya membabitkan jumlah yang besar.

“Seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terbabit boleh mendaftar secara online di aplikasi disediakan PDRM, atau membuat temu janji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.

“Adalah penting untuk polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian di lebuh raya.

“Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan,” pesannya.

Muhyiddin berkata, butiran terperinci mengenai hal tersebut akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, Sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.

“Kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi Covid-19,” tambahnya lagi.