Lanjut tempoh khidmat Raus langgar perjanjian Malaysia 1963

Lanjut tempoh khidmat Raus langgar perjanjian Malaysia 1963

Tindakan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Tan Sri Md Raus bin Sharif bukan sahaja tidak berperlembagaan malah melanggar Perjanjian Malaysia 1963.

Kenyataan ini dibuat anggota parlimen pembangkang hari ini selepas sidang meja bulat membincangkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa mengemukakan nasihat yang mengikut perlembagaan kepada Yang Di-Pertuan Agong supaya melantik Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim yang baharu pada 3 Ogos hadapan.

Perdana Menteri juga diminta membatalkan pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin ekoran perkara terbabit.

“Lanjutan tempoh Tan Sri Datuk Seri Md Raus bin Sharif sebagai Ketua Hakim dan Tan Sri Zulkefli bin Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan melebihi usia 66 tahun dan enam bulan adalah tidak berperlembagaan.

“Pelanjutan tempoh yang tidak berperlembagaan itu juga akan menafikan peluang kenaikan untuk sekurang-kurangnya lapan hakim mahkamah persekutuan, termasuk tiga wanita,” kata kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu juga, salah seorang yang terjejas peluang kenaikan itu termasuklah Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum yang merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak walaupun lebih senior berbanding Tan Sri Md Raus bin Sharif.

Penafian pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara juga disifatkan mereka sebagai diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak.

“Sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, belum pernah ada Hakim dari Sabah dan Sarawak dilantik untuk menduduki jawatan kehakiman tertinggi di negara ini.

“Seolah-olah wujud ‘tangan ghaib’ supaya tiada hakim dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara,” kata kenyataan itu.

Diskriminasi seperti ini dianggap tidak selaras dengan semangat ‘rakan kongsi setara’ di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita akan merayakan Hari Malaysia yang ke-54 pada 16 September 2017 ini dan sambutan ini merupakan peringatan bermakna terhadap semangat ‘rakan kongsi setara’ yang telah lama dilupakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya hakim dari Sabah dilantik sebagai Ketua Hakim lebih-lebih lagi jika ia diberikan kepada Tan Sri Richard Malanjum yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan paling senior,” kata kenyataan itu lagi.

Hadir pada sidang meja bulat hari ini ialah Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Jimmy Wong (DAP-Kota Kinabalu), Tan Kok Wai (DAP-Cheras), M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) (DAP-Seputeh), Julian Tan (DAP-Stampin), Oscar Ling (DAP-Sibu), Alice Lau (DAP-Lanang), Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) ), Jeff Ooi (DAP-Jelutong), Darrell Leiking (Parti Warisan Sabah-Penampang), Raja Kamarul Bahrin (Amanah-Kuala Terengganu).

Turut hadir ialah bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

COMMENTS

Wordpress (0)