Malaysia Dateline

Lanjutan darurat: Kenyataan Takiyuddin amat mengelirukan, kata Saifuddin

Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan tempoh darurat.

Setiausaha Agung PKR itu bertanyakan sama ada fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Seri Paduka tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri.

“Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati KDYMM Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

“Jika itu benar, apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Katanya, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Baginda, tidak seharusnya timbul.

Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mempunyai 19 keanggotaan termasuk Saifuddin.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu memohon Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan.

“Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini,” tambahnya lagi.

LANJUT MENYUSUL