Malaysia Dateline

Lanjutan PKP 3.0: PH gesa naikkan bantuan rakyat dari RM500 kepada RM2,000

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan melaksanakan pakej bantuan kepada rakyat yang terkesan secara menyeluruh ekoran lanjutan sekatan pergerakan penuh fasa kedua bermula esok sehingga 28 Jun ini.

Antaranya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dicadangkan mempercepat dan menaikkan bantuan one off RM500 bagi golongan berpendapatan bawah RM2,500 serta RM300 bagi berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.

Jawatankuasa itu menyarankan agar bantuan yang hanya disalur akhir bulan ini ditambah menjadi RM2,000 dan RM1,500 masing-masing memandangkan nilai sedia ada masih terlalu kecil.

“Sebagaimana yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan moratorium, Jawatankuasa ini mencadangkan moratorium selama tiga bulan kepada golongan M40 wajar dilaksanakan.

“Setakat ini hanya B40 sahaja yang diberikan, sedangkan M40 juga terjejas teruk,” kata jawatankuasa mewakili PKR, AMANAH dan DAP itu.

Terdapat tujuh pemimpin PH yang menganggotai Jawatankuasa Kos Sara Hidup tersebut iaitu Hassan Abdul Karim dan Natrah Ismail dari PKR; Hasanuddin Mohd Yunus (AMANAH) manakala empat lagi dari DAP iaitu Chong Chieng Jen, Sivakumar Varatharaju Naidu, Chan Foong Hin dan Cha Kee Chin.

Malaysia melaksanakan perintah sekatan penuh PKP 3.0 atau ‘total lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun dan disambung ke fasa kedua pada 15 hingga 28 Jun ini selepas kerajaan mengambil kira jumlah kes harian yang melebihi 5,000 kes sehari.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH juga mencadangkan moratorium selama tiga bulan kepada M40 memandangkan golongan berkenan turut terjejas teruk.

Kata jawatankuasa itu, cadangan pemberian moratorium pinjaman bank selama tiga bulan kepada M40 itu turut telah dipersembahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan juga digesa melanjutkan subsidi upah ke tiga bulan bagi memastikan bantuan diberi kepada Industri Kecil dan Sederhana (SME) sekali gus mengelakkan tenaga kerja hilang pekerjaan.

“Turut dicadangkan subsidi atau rebat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 30 peratus untuk pengguna domestik sepanjang tempoh PKP.

“Penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat dalam tempoh PKP kerana rata-rata rakyat berada di rumah seperti disarankan kerajaan,” kata jawatankuasa itu lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata jawatankuasa tersebut, perlu lebih bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan jenis perniagaan yang layak beroperasi sepanjang PKP 3.0

“MITI sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan kepada jenis-jenis perniagaan yang layak beroperasi sepanjang PKP 3.0.

“Telah berlaku insiden di mana terlalu banyak kelonggaran diberikan kepada pelbagai jenis perniagaan untuk beroperasi, iaitu lebih daripada 17 sektor yang dibenarkan.

“Keadaan ini tidak membantu, malahan merencatkan usaha untuk melandaikan lengkuk pandemik Covid-19,” tegas jawatankuasa itu lagi.