Malaysia Dateline

Lanjutan PKP: Kerajaan perlu fokus pada golongan yang berpotensi kebuluran

Susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta agar kerajaan tidak mengabaikan para petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil-kecilan yang terjejas.

Salahuddin berkata, sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa, pelbagai aduan yang diterimanya daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian sehingga terpaksa mengikat perut.

Jelasnya, golongan yang berpotensi untuk kebuluran itu perlu dijaga dan mengingatkan kerajaan agar tidak memandang ringan terhadap keperluan mereka.

“Sebagai wakil rakyat, kami telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa perintah kawalan pergerakan.

“Tetapi walaupun belum sampai 31 Mac atau fasa pertama perintah kawalan pergerakan, saya menerima banyak aduan daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian atau mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Golongan ini termasuklah mereka yang berada di dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib para petani, penternak, dan nelayan yang akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas.

Kata Ahli Parlimen Pulai itu lagi, apabila tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan, persoalan utama adalah faktor bekalan logistik untuk mengatasi keperluan makanan kepada golongan tersebut.

“Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian dan tidak mempunyai simpanan? Saya sangat bimbang

“Saya berharap perkara ini diteliti oleh Perdana Menteri dan saya juga mengharapkan satu pelan operasi khas yang jelas bagi membantu golangan yang paling berisiko ini,” katanya.