Malaysia Dateline

Lanjutkan lagi enam bulan pengecualian sewa PPR, PA

Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melanjutkan tempoh pengecualian sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) selama enam bulan lagi sehingga Mac 2021.

Menurutnya, perangkaan menunjukkan ekonomi negara masih di tahap genting dengan rakyat kebanyakan masih hidup dalam keadaan tertekan akibat aktiviti ekonomi negara belum pulih ekoran pandemik Covid-19.

“Pengecualian sewa PPR dan PA untuk enam bulan hanya melibatkan kos sebanyak RM3 juta. Jumlah kos ini tidak besar untuk sesebuah kerajaan, tetapi akan dapat membantu puluhan ribu penyewa.

“Maka, kerajaan harus memberi pertimbangan yang serius atas saranan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan penyewa PPR dan PA perlu kembali membayar sewa mulai bulan ini memandangkan pengecualian sebelum ini hanya dari April hingga September seperti terkandung dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), 27 Mac lalu.

Sehubungan itu, Lih Kang berpendapat kerajaan harus lebih prihatin terhadap rakyat yang masih bergelut untuk menangani tekanan kewangan yang kian meningkat.
“Puluhan ribu penyewa PPR dan PA merupakan golongan B40 yang menghadapi masalah kewangan paling ketara dalam kemelut ini.

“Bayaran pinjaman bank selepas tamatnya moratorium sudah memberi kesan kewangan yang cukup besar ke atas keluarga-keluarga ini yang berpendapatan kecil.
“Kalau kerajaan enggan lanjutkan tempoh pengecualian sewa untuk mereka, ramai di kalangan mereka akan menderita,” jelas Jurucakap Parlimen PKR bagi isu perumahan, kerajaan tempatan dan infrastruktur itu.

Lih Kang turut menyebutkan data Jabatan Perangkaan yang menyatakan Malaysia mengalami penyusutan ekonomi paling ketara di kalangan negara ASEAN, iaitu penyusutan KDNK sebanyak 17.1% dalam suku kedua tahun 2020.

“Kadar pengangguran pada Julai tahun ini adalah 4.7% (seramai 745,100 orang menganggur), berbanding dengan kadar pengangguran 3.3% (524,800 orang menganggur) pada Julai 2019. Bulan Ogos 2020 juga mencatatkan kadar pengangguran yang sama seperti Julai, iaitu 4.7%,” katanya lagi.