Malaysia Dateline

Lanskap politik sudah berubah untuk menampung sebarang impian lama

Ada kalangan orang Umno mengimpikan bahawa mereka boleh kembali berkuasa seperti sebelum tahun 2018. Iaitu dengan menjadi parti dominan bukan saja dalam Barisan Nasional tetapi juga terhadap keseluruhan politik negara.

Lebih-lebih lagi memandangkan BN menang besar dalam pilihan raya negeri Melaka. Juga kemenangan sekutunya, Gabungan Parti Sarawak di PRN negeri itu.

Malah ada orang Umno mengimpikan mereka dapat kembalikan Malaysia kepada keadaan sebelum Pilihan Raya Umum tahun 2008 ketika mana BN menguasai majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dalam sejarah politik Malaya dan Malaysia, terdapat enam titik tanda perubahan politik yang membawa negara ke arah berbeza daripada keadaan sebelumnya.

Ia bermula dengan Umno memperoleh kedudukan dominan apabila menang PRU tahun 1955 ketika pentadbir British mengikat parti-parti berhaluan kiri.

Titik kedua ialah pada PRU tahun 1959 apabila Umno yang memegang tampuk pemerintahan berjaya mengekalkan kedudukannya dan Pas muncul sebagai pencabar utama.

Titik ketiga ialah dalam PRU tahun 1969 apabila Perikatan pimpinan Umno hilang majoriti dua pertiga. Maknanya kedudukan Umno sebagai parti dominan sedang terancam.

Pencabar utamanya adalah Pas sekiranya Umno gagal mengambil hati orang Melayu. Dengan membawa Pas ke dalam kerajaan melalui BN, Umno kembali menjadi parti dominan melalui PRU tahun 1974. Inilah titik perubahan keempat.

Kedudukan Umno ini tidak tercabar walaupun Pas dikeluarkan daripada BN. Keadaan ini berterusan hinggalah PRU tahun 2008.

Titik kelima ini memberi petanda besar pada politik Malaysia. Pakatan Rakyat yang calon perdana menterinya tidak boleh bertanding telah menafikan dua pertiga BN dan seterusnya dapat memerintah lima negeri.

Keputusan PRU 2008 merupakan mimpi ngeri pada banyak orang Umno. Tamparan hebat adalah kekalahan BN di Selangor, negeri yang boleh membekalkan dana kepada parti itu.

Ia juga menunjukkan bahawa orang Melayu, Cina dan india boleh bekerjasama melalui PKR, DAP dan Pas yang kemudian digabungkan sebagai Pakatan Rakyat. Pasti wujud kebimbangan mereka bahawa Umno akan terus mengalami kemerosotan bilangan kerusi yang akhirnya menghilangkan kuasa pemerintahan.

Banyak orang Umno impikan untuk kembali kepada kedudukan ketika mereka menang besar pada tahun 2004 dan sebelumnya.

Mereka melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan kedudukan Umno. Kepimpinan parti mereka diubah daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Razak.

Mereka berusaha menarik ADUN untuk melompat yang akhirnya BN berjaya menumbangkan kerajaan PR Perak. Tetapi lebih penting lagi ialah memecahkan PR dengan mengenal pasti rangkaiannya yang paling lemah iaitu Pas-DAP.

Tetapi PR hanya dapat dipecahkan selepas PRU tahun 2013. Dalam PRU itu, BN dapat melangkah maju dengan memenangi semula Perak dan Kedah. Tetapi impian untuk pulih sepenuhnya seperti pada kedudukan tahun 2004 tidak tercapai. Masyarakat Malaysia sudah berubah.

Umno tidak dapat kembali pada kedudukan dahulu. Satu penjajaran semula perlu dilakukan. Maka Umno wajar bekerjasama dengan Pas bagi mengekalkan kuasa. Generasi baharu Melayu kelihatannya bersedia untuk menyokong parti luar daripada Umno dan Pas. Maka Pas adalah wajar diajak bekerjasama untuk mengekalkan kuasa Umno.

Skandal 1MDB menyebabkan Umno berpecah

Bersatu pimpinan Mahathir Mohamad walaupun merupakan parti kecil tetapi mampu menarik penyokong Umno. Sementara Pas berjaya dipancing Umno walaupun akibatnya, ia juga mengalami perpecahan. Sebahagian penyokong Pas menolak kerjasama dengan Umno.

Walaupun AMANAH merupakan parti kecil tetapi ia mengisi vakum yang ditinggalkan Pas dalam PR yang dijenamakan semula sebagai Pakatan Harapan.

Kemenangan PH dalam PRU tahun 2018 merupakan titik keenam dan terkini dalam politik Malaysia. Umno kalah dalam PRU itu.

Walaupun pihaknya kata bahawa majoriti orang Melayu masih menyokong Umno, tetapi bilangan orang Melayu yang menolak Umno sudah cukup untuk menghalang BN daripada berkuasa semula.

Kedudukan sekarang iaitu awal Januari 2022 ialah parti yang menjadi kerajaan adalah BN yang disokong Pas, Bersatu dan GPS. Selepas PRN Sarawak, kedudukan GPS adalah mantap dan ia mendapat dukungan dari kedua-dua, BN dan Perikatan Nasional.

Maknanya, GPS akan menyokong mana-mana parti, sama ada BN dan PN yang akan menang PRU akan datang. GPS akan hanya menolak PH.

BN pula berasa lebih yakin dapat kembali berkuasa pada PRU akan datang apabila mereka dapat mengalahkan kedua-dua PN dan PH dalam PRN Melaka. Maknanya Umno tidak perlukan Pas untuk kembali berkuasa.

Tetapi PRN Melaka dan Sarawak diadakan dalam keadaan tidak normal. Perhimpunan tidak boleh diadakan. Apa yang dilihat daripada Melaka ialah penyokong Umno yang mengundi PH dalam tahun 2018 sudah kembali kepada BN.

Tetapi lanskap sekarang sudah berubah. Sebahagian rakyat yang akan turun mengundi dalm PRU akan datang tidak pernah mengundi sebelum ini.

Undi18 merupakan fenomena yang menjadi keadaan politik negara tidak menentu

Keyakinan terhadap fenomena ini mendorong penubuhan Parti Muda. Sementara semua parti, BN, PN dan PH mengatur pelbagai strategi dan aktiviti untuk meraih sokongan anak muda.

Ketidaktentuan ini juga boleh mengakibatkan impian kalangan Umno yang mahu partinya kembali dominan. Zaman itu sudah berlalu.

Sungguhpun begitu, slogan “Melayu terancam” terus laku dan dapat menarik sokongan orang Melayu termasuk golongan muda. Walaupun tentunya tidak semua orang Melayu.

Anak-anak muda zaman ini tidak seperti generasi sebelumnya. Banyak faktor yang menjadikan keadaan ini. Salah satu daripadanya ialah peranan media sosial. Faktor lain yang penting ialah banyak daripada mereka lebih berpendidikan dan berpengetahuan.

Tekanan ekonomi akibat Covid-19 disertakan dengan hakisan keyakinan terhadap pihak berkuasa atas isu-isu integriti mendorong anak muda untuk tidak menghormati Umno. Ini tidak bermakna rakyat bukan orang muda tidak berubah.

Banyak orang yang berubah sejak PRU tahun 2018. Dengan maklumat, termasuk berita palsu bersimpang siur, ada antara mereka yang mengubah pendirian politik.

Ketika mana penyokong Umno tidak boleh mengimpikan bahawa parti mereka dapat kembali seperti keadaan tahun 2004, maka begitu juga dengan pendukung PH.

Untuk mengelak kekecewaan, para penyokong PH tidaklah wajar mengimpikan partinya boleh menang seperti mana pada tahun 2018.

Keadaan sudah begitu tidak menentu kerana banyak faktor memainkan peranan untuk mencorak politik negara.
Tetapi itu tidak bermakna seseorang wajar berputus harap, terutama bagi generasi kini dan kalangan anak muda.

Peranan pendukung-pendukung dari kalangan generasi tua sudah berlalu dan mereka kurang berupaya untuk mengubah keadaan.

Tetapi daya perjuangan generasi kini masih mampu untuk mencorak suasana. Malah mereka memikul tanggungjawab untuk terus berjuang. Tetapi tanggungjawab lebih besar adalah pada anak-anak muda.

Mereka wajar mempunyai impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baik. Maka mereka wajar mengimpikan PH mampu menang dalam PRU akan datang. Dan kalau menang, mereka wajar mengimpikan nilai-nilai PH dapat dilakanakan di negara ini.

Jangka waktu perjuangan bagi seseorang adalah hanya sekitar antara 10 hingga 40 tahun mengikut minat dan kemampuan masing-masing. Selepas mencapai 60 tahun, impian sesuatu perjuangan wajar dilepaskan kepada generasi berikutnya.

Lanskap politik sentiasa berubah. Setiap seorang adalah anak zamannya, yang berbeza di antara satu sama lain. Nilai-nilai juga berubah mengikut tafsiran generasi pada zaman tertentu.

Ada masanya nilai-nilai sesebuah parti juga perlu berubah mengikut peredaran zaman. Pada zaman media sosial ini terdapat nilai berbeza yang menuntut perubahan terhadap keadaan politik negara.